Friday, January 2, 2015

MEMAHAT RASA CINTA RASULULLAH SAW

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah pada Jumaat yang pertama di tahun 2015 ni sempat juga saya berkongsi khutbah jumaat dari tempat saya..rasa macam dah beberapa minggu tak share khutbah ni, banyak dah ketinggalan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Tajuk khutbah pada hari ni seperti di atas..berkenaan cinta terhadap rasulullah. Isi khutbah ni bersempena dengan maulid nabi yang bakal tiba esok.

**********
Tetaplah beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya hanya keimanan serta ketaqwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT yang dapat menjamin kebahagiaan hidup seseorang Muslim di dunia dan di hari kemudian kelak. Inilah janji Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“…Orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang yang bertaqwa.” (S. An-Nahl: 30).

Menurut sebuah riwayat, Thauban adalah seorang maula, yakni hamba yang dimerdekakan oleh
Rasulullah SAW. Beliau begitu cintakan Baginda SAW dan tidak dapat menahan sabar atas kecintaannya itu.

Pada suatu hari, beliau telah datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dalam keadaan bersedih.
Lalu Baginda bertanya kepadanya: “Mengapakah kamu kelihatan bersedih?"
Thauban menjawab: “Wahai Rasulullah SAW! Aku tidak ditimpa sakit atau terkejut, selain daripada aku tidak dapat melihat engkau sehingga aku menjadi terlalu rindu kepada mu ya Rasulullah sehingga aku dapat bertemu dengan engkau semula. Kemudian, aku teringat kepada akhirat, lalu aku takut aku tidak dapat melihat engkau kerana engkau akan diangkat bersama para Nabi sedangkan, sekiranya aku dimasukkan ke dalam syurga aku akan berada di tingkat yang rendah daripada tingkat engkau. Sekiranya aku tidak dapat masuk syurga, maka aku selama-lamanya tidak akan dapat melihat engkau."

Demikianlah impian serta harapan seorang yang benar-benar cinta dan kasihkan Nabinya. Dia bukan
sahaja mahu mentaati dan mematuhi segala perintah dan larangannya, malahan kalau dapat mahu
sentiasa bersama dengan Rasulullah SAW pada setiap masa dan tempat ibarat mahu hidup semati
dengan Baginda.

Sebagai muslim, kita wajib menanam dan menyuburkan kasih dan cintakan Nabi Muhammad SAW
yang merupakan Nabi terakir diutuskan Allah SWT untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Ini
kerana jasa dan sumbangan Rasulullah menyampaikan risalah Islam begitu besar dan tidak dapat
dinilai dengan wang ringgit. Perjuangan dan pengorbanan Baginda mengajar dan mengembangkan
Islam dengan sifat benar, amanah, bijaksana dan menyampaikan telah mengeluarkan manusia
daripada kegelapan kepada sinar cahaya Islam. Dengan kata lain, pengutusan Nabi Muhammad SAW
telah membawa perubahan positif terhadap suasana kehidupan manusia melalui panduan serta
petunjuk ke jalan kebahagiaan dan kejayaan.

Rasa kasih dan cinta adalah neraca kecenderungan terhadap sesuatu. Ia menyebabkan seseorang
membenarkan dan mengikuti sesuatu yang dicintainya. Namun cinta sejati ialah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT dan Rasul SAW adalah dengan mengikuti serta mematuhi segala apa yang diarahkan dan diperintahkan. Kecintaan Allah SWT kepada para hambanya pula adalah dengan memberikan limpahan keampunan kepada mereka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (S. Ali-Imraan: 31).

Oleh hal yang demikian, menyemai serta menyubur rasa kasih dan cintakan Rasulullah SAW sangat
dituntut kerana ia sebagai tanda wujudnya iman dalam diri kita. Hal ini ditegaskan oleh Baginda SAW dalam hadis daripada Anas ra katanya: "Rasulullah SAW bersabda tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya." (HR Bukhari dan Muslim).

Rabiulawal adalah bulan bersejarah kerana dalam bulan inilah junjungan besar kita, Nabi Muhammad
SAW dilahirkan. Lantas kita menyambut dan meraikan hari maulid Baginda SAW sebagai mensyukuri rahmat Allah SWT yang menurunkan seorang pemimpin yang mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Kita juga meraikan Maulidur Rasul sebagai memotivasi diri sendiri dan masyarakat Islam seluruhnya supaya memahatkan rasa kasih dan cintakan Rasulullah SAW sepenuh hati demi meraih cinta sejati dari Allah SWT dan Rasul-Nya supaya selamat di dunia dan di akhirat.

Dalam kerangka ini, diperturunkan berikut beberapa panduan untuk memahatkan dan memantapkan
lagi rasa cintakan Rasulullah SAW-

Pertama, mentaati dan mematuhi segala ajaran Rasulullah SAW samada yang berupa suruhan
mahupun larangan Baginda. Ini sejajar dengan sabda Baginda yang maksudnya: "Apa saja yang aku
larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka
lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah kerana
mereka banyak bertanya dan berselisih faham dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh)." (Muttafaqun alaih)

Kedua, mencontohi atau meneladani akhlak Rasulullah SAW yang merupakan manifestasi daripada
ajaran al-Quran. Hal ini bertepatan dengan saranan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat…”
(S. Al-Ahzab: 21).

Ketiga, memperbanyakkan selawat serta ucapan penghormatan ke atas junjungan sebagaimana
dianjurkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada (Nabi Muhammad SAW); wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (S. Al-Ahzab: 56).

Orang yang rajin berselawat kepada Nabi SAW akan bersama Baginda pada hari akhirat kelak. Ini
sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku
pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku." (HR Tirmizi).

Keempat, memiliki buku sirah Nabi SAW. Ia penting sebagai rujukan serta panduan dalam memperolehi, memahami dan menghayati ajaran, perjuangan, pengorbanan, kepimpinan hatta
keseluruhan akhlak Baginda untuk diikuti bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Kelima, sentiasa berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan sunnah Baginda SAW agar sentiasa
berada di jalan yang benar dan diredhai Allah SWT. Langkah ini Sejajar dengan anjuran Rasulullah
melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.” (HR Muttafaqun ‘alaihi).

Keenam, mencintai keluarga dan sahabat Rasulullah SAW, dalam erti kata membela serta
mempertahankan maruah mereka daripada dihina dan dicaci secara bijaksana.

Ketujuh, mendekati para ulama yang disifatkan oleh Baginda SAW sebagai pewaris Nabi-nabi. Hikmahnya adalah untuk memastikan diri supaya sentiasa berada di landasan hidup yang betul dan diredhai Allah SWT di bawah bimbingan dan panduan ulama. Tambahan pula, berkat jasa dan pengorbanan para ulama dan pendakwah Islam sejak dulu menyambung usaha Nabi SAW dalam menegak dan mengembangkan syiar Islam di serata dunia membolehkan kita di zaman mutakhirin ini turut sama menikmati kemanisan iman dan Islam.

Pada suatu hari Umar bin Khattab berkata kepada Rasulullah: “Aku mencintaimu lebih daripada segalanya, kecuali jiwaku sendiri.
Lantas Baginda menjawab: Tidak seorang pun antara kamu yang beriman sehingga aku lebih dicintainya daripada jiwanya sendiri.
Mendengar penjelasan Rasulullah tersebut, Umar segera berkata: Demi Dzat yang menurunkan kitab suci al-Quran ini kepadamu, aku mencintaimu melebihi cintaku kepada diriku sendiri.
Lalu, Rasulullah menegaskan: Wahai Umar, sekarang kamu telah mendapatkannya.” (HR Bukhari).

Sehubungan dengan mafhum Hadith tersebut, marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati terhadap Rasulullah SAW? Ini kerana perisytiharan cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian secara zahir masih belum mencukupi untuk mewujud cinta sejati. Cinta sejati memerlukan pembuktian di mana seseorang yang benar-benar mencintai kekasihnya akan mengutamakan insan yang dikasihinya lebih daripada diri dan kehendak peribadinya sendiri. Kalau tidak mencapai tahap itu, ia belum layak dinamakan kasih sejati yang murni, tetapi sekadar dakwaan sahaja.

Justeru, tepuk dada, tanyalah iman masing-masing. Semoga Allah SWT dengan limpahan rahmat Nya, berkenan menganugerahkan kita dengan cinta-Nya, cinta Rasul-Nya, dan menyubur mekar dalam sanubari kita cinta tulus terhadap Rasulullah SAW sebagaimana yang selayak dan sewajarnya cinta umat kepada pemimpinnya yang agung, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya
kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta
mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang
benar (pengakuan imannya).” (S. Al-Hujurat:15). 

**********
Demikianlah isi kandungan khutbah Jumaat di tempat saya untuk minggu ni..semoga kita semua mengambil pengajaran dan iktibar serta sama-sama memperbaiki diri agar menjadi umat Muhammad yang sejati..insyaAllah:)

0 comments:

Post a Comment

    © Friends Forever Template by Emporium Digital 2009

Back to TOP