Wednesday, July 31, 2013

BISNES COMEL

Bismillahirrahmanirrahim...

Jika sebelum ni saya ambil pendekatan sifat pentingkan diri, nak cantik dan comel sendiri-sendiri je.. tapi sekarang tidak lagi bila saya sudah mula berkecimpung dalam perniagaan kecil-kecilan. Kini gadis-gadis terutamanya dan sesiapa sahaja yang bergelar nisa' juga boleh tampil cantik dan comel:)


Mulanya niat saya cuma untuk suka-suka dan koleksi peribadi sahaja tapi bila mak bagi cadangan untuk jual, saya  pun fikir banyak kali.. tambah pula saya faham nisa' di luar sana juga mesti pernah ada masalah macam saya. Nak beli dan pakai warna kita mahu tapi tidak ada dijual.. maka usaha saya ini dapat mengatasi masalah itu.. hehe.


Ini antara hasil tangan saya yang tidak seberapa namun bagi saya cukup membanggakan..syukur lillahi taala atas kurniaan bakat ini:)





  























Semuanya adalah hasil tangan saya sendiri.. mulanya saya design sendiri tapi bila rasa macam lambat je nak kumpul jadi banyak maka saya pun buka untuk tempahan. Siap buat iklan ala-ala catalog lagi tau.. hehe. Dalam entri akan datang la kot saya share 'catalog' saya tu.. hehe.

Bila dah buka untuk tempahan yang mana para pelanggan bebas menentukan warna dan design yang diorang nak berdasarkan pada 'catalog' saya yang tak seberapa tu:) Akibatnya saya jadi tak menang tangan dan terpaksa berusaha untuk mengkreatifkan diri..


Tapi saya puas dengan bisnes ni.. buat perkara yang kita suka dan dalam masa yang sama buat orang lain tersenyum sebab saya dah makbulkan impian diorang dengan design yang diorang nak tu..umpama mimpi jadi nyata, hehe. Penat tapi sangat berbaloi.. alhamdulillah syukur lillahitaala.


p/s: Selamat bergaya penuh sopan dengan pin bunga yang comel-comel:)

Saturday, July 20, 2013

CERITA TENTANG KEMBAR

Bismillahirrahmanirrahim...

Pada suatu malam yang saya tak ingat malam ramadhan yang ke berapa, saya sangat teruja bila tengok ada sepasang kembar lelaki di masjid. Mereka jadi perhatian para jemaah bukan hanya sebab mereka comel tapi juga sebab kenakalan dan keriuhan mereka masa para jemaah solat terawih.


Saya yang 'pantang' nampak kembar tak lepaskan peluang keemasan beramah mesra dengan kembar tu. Hanya si abang yang sangkut kat saya, si adik pula macam kurang mesra ala-ala sombong sikit dengan orang. Panggil pun buat layan tak layan je.


Si abang pula terlebih mesra, siap minta minum lagi kat saya masa moreh.. hehe. Lepas tu suka hatinya pula bertenggek di tepi kerusi saya, konon-konon signal nak duduk 1 kerusi berdua.. saya pun layan je lah si kembar ni. Tuhan je lah yang tau betapa girang riang gembira suka hatinya saya dapat melayan karenah si kembar tu.. seronok dan teruja sangat! Oh, ya.. kembar berdua ni umur dia dalam 5 tahun kot sebab sekolah tadika. Tapi bila saya tanya si abang dengan very confident jawab umur diorang berdua ni 3 tahun.. huh, tipu3x.



Beberapa malam kemudian... (malam 10 Ramadhan)

Lepas je selesai solat terawih dan doa semua.. saya pun berdiri nak beratur bersalam dengan para jemaah. Tiba-tiba jari-jemari saya disentuh seterusnya dipegang erat dari arah belakang. Saya terkejut dan terus menoleh.. lepas tu rasa terkejut tu terus berubah menjadi senyuman yang diiringi dengan naluri keibuan yang meronta-ronta.. hehe. (Ayat novel tak tahan)..


Apa tidaknya, tersentuh naluri keibuan yang duk tersimpan jauh di lubuk hati bila melihat si kembar seorang datang memegang tangan saya:) Ditarik-tariknya tangan saya sambil tanya, 'nama kakak siapa?' Saya buat tak layan sebab fokus masa tu nak bersalam-salaman. Tambah pula saya anggap si kembar ni saja kot nak ajak main-main je.. habis je bersalam-salaman saya menoleh, rupanya si kecik tu ikut je belakang saya dari masa salam-salam tu tadi.. hehe. Sekali lagi dia tanya nama saya.. terus saya bagitau dan dia pun dah nampak puas hati.





Saya dengan yakinnya menyangka kembar tu si abang terus tanya mana si adik.. lepas tu kembar tu jawab yang dia lah adik, abangnya tak ikut. Saya terkejut sekali lagi sebab hari tu si adik ni sombong bukan main lagi, tiba-tiba malam ni mesra terlebih siap pegang-pegang tangan lagi. Aihh.. budak kembar ni ada konspirasi kot dengan saya, hehe.


Saya pun tanya lagi, kenapa si abang tak ikut sekali malam tu. Lepas tu si adik menjawab pintar, ' mami tak bagi dua-dua ikut pergi masjid. Kena seorang-seorang, gilir-gilir'. Kenapa kena gilir-gilir? Saya bertanya lagi.. jawab si adik, 'sebab kami nakal'. Wahhh.. hahaha. Terus saya gelak tak tahan dengar jawapan dia. Memang patut pun...:)


Entah kenapa sejuuuuuuk sangat hati bila tengok anak-anak kembar. Rasa cemburu sangat tengok pasangan yang ada anak kembar. Ya Allah semoga diriku juga mendapat peluang sedemikian.. amin ya Rabb.




Wednesday, July 17, 2013

BIKERS WANITA SUPER KENTAL

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya sangat sayangkan diri sendiri..saya juga sayangkan kaum muslimah yang ada di seluruh pelosok dunia..oleh kerana rasa sayang-sayang eh itu, saya terpanggil-panggil dan dilambai-lamabai untuk menulis entri tentang ini.. hehe.


Entri ni ditujukan buat para wanita, gadis atau ibu-ibu dan yang sejantina dengannya yang bergelar penunggang motorsikal. Tidak kira lah yang menunggang dengan kerap atau sekali sekala. Ada sedikit tips untuk anda bagi penjagaan aurat semasa menunggang motor..


Saya tak pasti para nisa' di luar sana sedar atau tidak yang kita adalah seksi bila menunggang motorsikal..lebih lagi jika ditunggang dengan laju. Tak apalah,husnudzon saja yang tak ramai perasan tentangnya. Kadang tudung di bahagian hadapan atau belakang akan terangkat disebabkan angin. Lalu menampakkan leher yang tersembunyi di dalam dan alangkah sedihnya bila rambut yang panjang dibiarkan tanpa disimpul atau sanggul juga ternampak bila tudung di bahagian belakang terangkat. Selain dari tu, angin dari arah hadapan juga mengakibatkan tudung melekat dengan sangat erat pada bahagian dada dan menampakkan bentuk yang tidak sepatutnya dilihat oleh ajnabi.


Maka dengan itu, saya telah berusaha mengkaji dan cuba membantu diri sendiri serta kaum wanita sekalian bagi mengatasi perkara ini..saya juga salah seorang dari bikers wanita sebab keadaan jalan ke sekolah yang memestikan saya menunggang motor saja..terpaksalah kan. Marilah kita lihat antara tips mengatasi masalah ni yang saya dah cuba dan alhamdulillah dapat mengatasi sedikit sebanyak masalah ni.




  •   Memakai tudung yang labuh (melebihi paras dada)


  • Sentiasa memakai anak tudung dan rambut disimpan kemas dalam anak tudung


  • Pin bahagian hadapan dan belakang tudung pada baju supaya tidak melambai-lambai (tudung tidak dipin terlalu tegang pada baju)



  •   Elakkan menunggang motor dengan terlalu laju (nanti tudung melekat dengan erat di dada)



  •   Memakai sweater di bahagian hadapan iaitu secara terbalik (melindungi bentuk dada)



  •   Tidak memakai pakaian yang ketat dan mengikut bentuk badan

Oh,ya.. bagi bikers wanita yang berbaju kurung pula, sebaiknya pakailah seluar panjang di dalam. Masa nak naik atas motor kalau terselak sekalipun tidak mengapa:)


Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 59:

Maksudnya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan(ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.





Semoga perkongsian ni sangat berguna buat muslimah yang saya sayangi sekalian..kerana diri kita begitu berharga:)

Saturday, July 13, 2013

MUDA SEBELUM TUA

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah sedang menulis dengan riangnya kerana sudah selesai menunaikan solat subuh + bersahur.. pagi ni sahur dengan 4 keping roti putih dengan inti kaya dan susu manis..tambah lagi dengan telur dadar.. nyammmm. Pekena pula air kacip fatimah.. insyaAllah akan memberi tenaga tambahan. Alhamdulillah sangat kenyang..saya memang suka bersahur dengan roti sebab rasa lebih bertenaga. Kalau makan nasi tak sampai 3 jam kot mulalah saya lapar balik dan mengidam makanan yang mengarut.


Semalam selesai terawih, alhamdulillah saya berkesempatan ikut bertadarus bersama jemaah nisa' yang lain..adalah dalam 6 orang macam tu. Tapi dalam 6 orang tu cuma 2 orang je yang muda. Iaitu saya dan seorang lagi adik yang masih bersekolah rendah.. alhamdulillah adik tu boleh baca dengan baik cuma perlu latih lagi bacaan agar lebih sempurna. Selebihnya adalah golongan makcik..


Dalam pada bertadarus, saya tak lupa dan tak boleh berhenti dari buat pemerhatian.. rasa simpati juga dengan para makcik yang sama-sama bertadarus. Semuanya boleh membaca dengan baik tapi banyak kali juga tersilap dan tersalah baca.. sebabnya mata dah tak terang sekalipun terpaksa pakai cermin mata sebagai bantuan masa membaca tu.


Saya simpati dan muhasabah diri sepanjang bersama mereka.. saya kira ini merupakan suatu peringatan buat diri dan sahabiah yang masih muda agar menggunakan kesempatan masa muda ini dengan sebaiknya untuk beribadah dengan sebaik mungkin. Saya lihat para makcik tu sangat bersemangat berterawih berjemaah dan bertadarus sekalipun ada yang sakit kaki berdiri lama-lama masa solat, tak berapa cergas nak bangun duduk masa solat dan penglihatan kurang jelas masa mengaji. Saya kagum sangat dengan mereka..


Insaf bila kenangkan golongan sendiri yang muda mudi yang belum ada komitmen sangat dan rumah hampir yang amat dengan masjid tapi tidak datang mengimarahkan rumah ibadat ini lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia. Rasa malu terselit pun ada pada golongan makcik pakcik yang tak miss ke masjid setiap malam.


Syukur sangat pada usia sebegini saya sangat terpanggil untuk bersama-sama mereka.. insyaAllah bersama-samalah kita mencontohi golongan yang lebih berusia dalam bertakwa dan mengerjakan amal ibadat sebanyak-banyaknya. Tidak perlu menunggu hari tua waktu semua dah pencen dan tak ada apa nak buat kat rumah baru nak bersungguh-sungguh beribadat. Bimbang umur kita tak sampai hari tua itu dan kalau pun sampai dah pelbagai nikmat yang ditarik..


اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ



'Manfaatkan 5 perkara sebelum 5 perkara: waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, masa kayamu sebelum datang kefakiranmu, masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu dan hidupmu sebelum datang kematianmu'

( Hadis riwayat Imam Hakim dalam kitab al-Mustadrak) 


Renung-renungkanlah.. peringatan buat diri sendiri dan sahabiah sekalian:)

Wednesday, July 10, 2013

AHLAN YA RAMADHAN

Bismillahirrahmanirrahim...

Seawal jam 5 petang saya sudah sibuk mencari baju kurung lama untuk pakai pergi terawih malam pertama ramadhan.. lepas dah jumpa saya beralih pula ke almari pakaian mak dengan izinnya untuk ambil 1 kain pelikat abah yang masih baru. Abah memang banyak simpanan kain pelikat yang dibeli sendiri atau cenderamata dari majlis kahwin..jadi saya rembat lah 1 untuk dibuat kain sembahyang. Dari zaman sekolah lagi saya memang selesa memakai telekung bersama kain pelikat..lebar, labuh dan tidak jarang.


Sedang saya memilih design kain pelikat yang agaknya abah tak suka dan sesuai dipakai saya, akhirnya saya memilih kain pelikat warna pink.. hehe. Sangat menawan hati.. dalam hati sangat yakin yang abah tak suka design tu dan saya pun tak adalah rasa bersalah sangat sebab dah kurangkan 1 daripada simpanan kain abah.. hehe. Maaf abah..:)


Malam pertama menunaikan solat terawih, geli hati juga melihat pelbagai gelagat rakan-rakan muslimat yang sama-sama berjemaah.. majoriti terdiri daripada golongan makcik. Ada antaranya yang terlupa berniat witir semasa solat sunat witir dan tetap dengan niat sunat terawih. Ada juga yang keliru dengan bilangan rakaat. Tidak kurang juga yang kebetulan memakai baju warna sedondon sehingga menjadi bahan usikan...


Semasa Solat Isyak, ada seorang makcik tiba-tiba batuk tak henti-henti. Sehingga dia terpaksa keluar dari saf dan batuk di luar ruang solat.. setelah selesai solat, makcik tadi masih dalam solatnya kerana dia terpaksa mengulang semula solat. Saya dapati beliau solat di tempatnya yang asal iaitu antara 2 orang ahli jemaah. Saya tertanya-tanya tidak dirapatkan kah saf selepas makcik yang batuk tadi keluar dari saf?


Selesai solat, kami berkumpul menikmati moreh yang dihidangkan.. makcik yang batuk-batuk masa solat tadi menegur dalam bentuk gurauan makcik yang di kiri dan kanannya masa solat tadi sebab tak rapatkan saf selepas beliau keluar dari solat jemaah. Rupanya benar, kedua makcik itu tidak tahu bagaimana nak rapatkan saf yang lompang ketika solat. Lalu saya membantu makcik yang tadi beri penerangan siap dengan demo sekali macam mana nak atasi perkara itu.


Semasa bersolat secara jemaah, saf mesti dirapatkan biarpun ahli jemaah cuma 2 orang saja. Jika kita dapati ada ruang kosong di sebelah kita tidak kira besar atau kecil ruang itu, kita anjakkan diri untuk menutup ruang itu. Kita bergerak selangkah kemudian berhenti sekejap dan sambung lagi langkah sehingga akhirnya saf itu telah rapat. Tapi pergerakan itu tidak boleh melebihi dari 3 kali. Semasa bergerak pula kepala tidak perlu menoleh.. hanya kaki sahaja yang bergerak.


Harapnya mereka benar-benar sudah memahami dan boleh aplikasi tentangnya bila-bila masa akan datang.. Walaupun terdapat beberapa kekurangan dalam terawih yang pertama ini, para makcik tu terus kata 'biasalah malam yang pertama terawih memang macam ni lah.. dah lama tak buat terawih kan'.. Saya hanya tersenyum mendengar dan melihat gelagat mereka.


Ahlan ya Ramadhan.. syukur alhamdulillah kita masih berpeluang menjalani ibadah puasa pada tahun ini. Semoga ibadah kita semakin sempurna dan lebih diberkati.. amin ya rabbal alamin.


Monday, July 8, 2013

TENTANG DIA

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam diam saya akui saya dan dia ada banyak persamaan. Adakala kami berkongsi makanan yang sama, rancangan tv yang sama atau topik cerita yang sama.. pendek kata memang kami berdua sangat serasi bersama. Adatlah kalau sesekali berselisih pendapat kan..

Lepas habis STPM hari tu, dia offer suruh ambil lesen memandu.. bukannya saya tidak tahu harga untuk sebuah lesen di negeri ni melebihi angka 1k.. terus saya menolak dan saya kata nak kerja sementara. Saya tak nak susahkan dia sebab saya tau kehidupan dia sangat sederhana.. mesti susah untuk dia kalau kena support saya belajar memandu pula.

Akhirnya saya ambil lesen sendiri.. tapi saya tetap guna khidmat dia untuk ajar saya memandu supaya senang dah pandai memandu siap-siap bila ambil lesen. Sejujurnya dia memang guru memandu yang sangat hebat sebab dia melatih saya pada waktu malam..melatih dengan penuh mesra dan kasih sayang.

Masa nak pergi konvo pula, memang saya sangat tidak mampu.. mujur dia sentiasa ada dan sangat memahami. Entah kali ke berapa saya terpaksa menyusahkan dia lagi.. dia keluarkan semua isi tabung buluh dia yang tinggi macam slinder tu semata-mata untuk tanggung kos penerbangan ulang alik ke Terengganu..saya tau sangat duit dalam tabung tu dah lama dia isi sikit-sikit. Bila dah hampir penuh, dia guna duit tu untuk kami bersama. Lebih dari cukup duit yang ada tu untuk seluruh kos penerbangan.

Dia juga yang hantar saya pergi interview j-QAF..memang kami sangat akrab bukan. Bila dia dah balik sebab bergegas ke tempat kerja, saya terpaksa menyusahkan dia lagi sebab rupanya saya sudah tersalah tempat interview. Terpaksalah dia patah semula ambil saya dan hantar semula ke lokasi yang betul..

Saya sangat bergantung pada dia..hal motor dan kereta semua saya serah pada dia walaupun saya yang buat kerosakan atau masalah. Sampaikan saya kena saman polis sebab parking di tempat yang salah pun dia juga yang tolong bayar dan settlekan..entah macam mana lah saya nak balas balik semua budi dia tu.

Sampailah tiba pada suatu hari, datang rombongan merisik saya.. saya tak sangka dia tangani perkara ni dengan penuh hikmah. Sedangkan selama ni dia melayan saya bagaikan saya masih kanak-kanak riang di hadapan matanya..dia memanggil saya ke bilik dan berduaan dengannya dia memimpin saya duduk di sisinya. Kami berbual ringkas kemudian dia pun berkata...

'Abah tak halang kalau kamu nak terima dia.. kamu dah besar, abah cuma mau kamu bahagia dan tidak menyesal di kemudian hari..'

Itulah kata-kata dia.. seorang ayah yang sangat menyayangi anak perempuan sulung yang selalu sangat menyusahkannya tu.. hehe. Terima kasih abah.. saya sayang sangat dengan abah.





Selamat Hari Lahir Abah yang ke 48..semoga abah sentiasa ceria, tenang, bahagia, dikurniakan kesihatan yang baik dan semakin dimurahkan rezeki..dan semoga dapat cucu kembar suatu hari nanti, hehe. Amiiiiiiiin...:)


BERHIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Akhirnya saya telah berhijrah ke blog yang baru..bukan saya tidak sayang blog sangkar mustika tapi nak buat macam mana, blog tu macam ada masalah.. saya cuba untuk atasi masalah tu tapi macam tu juga lah hasilnya. Kebetulan saya yang sudah berniat sejak sekian lama untuk ada blog yang baru, yakni menduakan blog sangkar mustika maka saya seolah-olah orang mengantuk disorongkan bantal bila blog tu bermasalah.. hehe.

Blog tu still ada dan saya bercadang untuk biarkan saja dulu buat masa sekarang ni.. masih rasa sayang sebab dah beberapa tahun bersama blog tu. Cuma memang saja nak berhijrah ke sini untuk memulakan pelbagai cerita baru secara lebih jujur, adil dan saksama.. hehe.

Semoga saya akan terus setia dengan rumah ini sebab walaupun semuanya hanya di hujung jari tapi dah nama pun hijrah memang ada sedikit cabaran dan dugaan perlu diatasi.. saya tidak mahu menyusahkan diri sendiri rasanya, so harap-harap saya akan setia:)

Oh, ya.. harap-harap saya juga akan lebih rajin menulis di rumah baru ni.. insyaAllah.