Thursday, October 23, 2014

NALURI KEIBUAN KOT..

Bismillahirrahmanirrahim...

Baru je berapa hari tapi rasa macam lama sangat tinggal blog ni..ceh, hehe. Sebenarnya minggu lepas seminggu juga lah abang demam, batuk dan selesema. Risau juga sebenarnya takut berjangkit pula dari abang. Yelah kalau tak sihat sorang-sorang tak apa..ni dengan baby sekali pula terlibat nanti, itu yang minta sangat supaya tak terjangkit.

Namun kami hanya mampu merancang..akhirnya petang Jumaat lalu, ditakdirkan saya merasai juga *nikmat* demam itu.. Allah. Seharian sabtu memang saya terbaring je lah merehatkan diri yang tidak sihat..badan panas dan selesema pula. 



Tapi entah dari mana datang kekuatan, biarpun agak lemah dan sangat tak larat tapi saya gagahkan juga diri berulang alik ke bilik mandi basahkan tuala kecil dan sapu ke seluruh badan untuk kurangkan panas badan tu. Lepas tu saya berusaha habiskan berbotol air putih dengan harapan badan akan cepat pulih..syukur alhamdulillah malamnya tu badan pun dah mula sejuk. Esoknya pula hari ahad saya dah sihat sedikit..tak ada dah baring-baring lagi dan dah boleh mengemas rumah. Syukur sangat-sangat.

Bila fikir-fikir semula..kekuatan untuk merawat diri tu sebenarnya datang sendiri sebab saya nekad tak nak sakit lama-lama sebab tak mahu jadi apa-apa pada kandungan. Saya tak mahu baby dalam kandungan merasai *kesakitan* itu.. fuh, masa bujang-bujang dulu tak pernah pula terfikir nak rawat diri macam tu..makan ubat je tau, haha. Itulah yang dinamakan naluri keibuan agaknya.. lalala.

Thanks sangat pada baby sebab beri saya kekuatan untuk kekal sihat..kalau tak agaknya sampai sekarang pun masih demam tak baik-baik lagi kot. Sejarah juga rasanya demam cuma 1 hari.. syukur ya Allah:) Sakit kali ni memberi 'ibrah yang sangat besar buat diri..

Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah seorang muslim menderita sakit kerana suatu penyakit melainkan Allah menggugurkan kesalahan-kesalahannya dengan penyakit itu, sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya". (HR Bukhari, Muslim)


Thursday, October 16, 2014

MUKA COMEL TAPI GARANG

Bismillahirrahmanirrahim...

Comel ke?? Haha.. sebenarnya ini title yang telah diberi oleh seorang rakan guru kepada saya. Alkisahnya masa tu saya tengah jalankan ujian lisan PKSR 2 Bahasa Arab kat bilik guru, maka saya panggil je seorang demi seorang murid datang menghadap..haha.

Oleh kerana geram sangat dengan murid yang tak boleh nak jawab soalan-soalan lisan yang mudah, maka secara tak langsung ternaik jugalah angin secara tak sengaja..haha.

Sampai nak nangis budak tu menjawab..haha. Saya yang kejam atau memang patut angin saya naik ke tak tau lah mana yang betul.. tapi kesimpulannya semua ni dipengaruhi oleh mood ibu mengandung ni juga rasanya.. wawawa.

Saya mula perasan yang saya agak mudah naik angin sejak-sejak mengandung ni..pantang murid buat silap sikit atau tak menepati arahan dengan tepat, siaplah ada yang mengamuk nanti..haha. Kadang kesian juga dengan budak-budak tapi apakan daya..

Penyelesaian yang saya ambil untuk kurangkan masalah garang-garang dalam kelas ni ialah mengajar sambil duduk..kalau berdiri rasa cepat je nak marah. Bila duduk, kita dalam keadaan bertenang. Lepas tu, kalau saya dapati mood macam tak ok je sebelum nak masuk kelas saya akan bagi latihan atau aktiviti je pada murid..kalau masuk mengajar juga habislah murid-muridku sekalian..haha.



Mujurlah angin garang ni tak merebak kat rumah..setakat kat sekolah je..syukur sangat. Tak suka juga garang-garang ni, tak pasal-pasal dapat title muka comel tapi garang.. haha. Nasib dah kahwin, haha.


Tuesday, October 14, 2014

BIRTHDAY GIVEAWAY BY ESHAZARA

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah masih berpeluang untuk join giveaway..hehe. Kali ni saya join GA yang dianjurkan oleh EshaZara Healthy Blog. Semangat saya join GA ni sebagai tanda meraikan bulan kelahiran si pemilik blog EshaZara.. Selamat hari lahir, sanah helwah :) Semoga tercapai segala yang diimpikan dan menjadi hambaNya yang bertakwa..amin!



Sesiapa je boleh join GA ni.. caranya mudah saja :

1. Follow blog EshaZara Healthy Blog

2. Buat satu entri Birthday Giveaway By EshaZara

3. Gunakan banner di atas dan link kan ke entri GA tu..

4. Tinggalkan link entri ke ruang komen entri GA tu..

Hadiah pula sudah pastilah ada.. hoho. Hadiah dari shaklee lagi..Herbal Blend Multipurpose Cream Shaklee..nak tau apa yang best tentang hadiah itu, boleh klik empunya blog yang anjurkan GA ini ye.. hehe.

Jom lah ramai-ramai join..kita raikan bulan kelahiran pemilik blog EshaZara,, yang pasti saya dah join, anda pula bagaimana?? hehe..


DAH ADA BABY KE???

Bismillahirrahmanirrahim...

Suatu petang di hujung minggu, saya dan abang duduk bersantai depan tv..sambil layan running man. Tiba-tiba anak buah abang yang berumur 4 tahun, puteri datang dekat dengan kami dan duduk di sebelah saya. Mula-mula tu elok je dia pun layan sekali tengok running man tu.. lepas tu mula lah mulut becok dia yang petah tu tanya macam-macam.

Puteri : Babu (makcik) ada anak?

Saya : Ada.... (muka confident)

Puteri : Mana lah anak babu??

Saya : Er..dalam perut lagi..

Puteri : (sambil mata tengok kat perut saya).. kenapa perut babu kurus, tak gemuk??

Saya : Memanglah..sebab babu kan kurus (haha..jawapan selamat)

Puteri : Tapi perut ibu besar pun..gemuk lagi. Itulah babu malas makan ubat, baby babu pun kecik. Tengok macam ibu, rajin makan ubat..


ni lah budak bernama puteri tu..grrrr

Aiyaa..checkmate saya dibuatnya dengan soalan yang bertubi-tubi. Siap kena tuduh malas makan ubat lagi.. haha. Isunya hanya kerana perut saya yang kecik dan tak besar macam ibu dia. Ibu dia memanglah..kandungan dah 8 bulan..nampak sarat dah. Abang senyum-senyum je..bukan nak tolong jawab,,haha.

Dah lama dah sebenarnya puteri tu tertanya-tanya tentang tu.. mula-mula dia pergi tanya dekat mak mertua, lepas tu tanya pula ibu dia dan last sekali petang tu dia tanya sendiri kat saya..haha. Macam-macam je lah puteri oi..

Tapi budak tu memang pintar comel dan selalu buat saya gelak besar geli hati..haha. Dan budak puteri tu juga rajin nak belajar 123, abc dan alif ba ta dengan saya..banyak lah bbm dia bawa kat saya kalau nak minta tunjuk ajar tu..geram je rasa. Nasib lah anak orang..alahai.

Friday, October 10, 2014

PELAKU RASUAH DALAM NERAKA

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat..penghulu segala hari:) Tajuk khutbah hari ni berkaitan dengan rasuah..semoga kita semua mengambil iktibar dan pengajaran dari isi khutbah yang bakal saya kongsikan ni..dah alang-alang baca tajuk, baca sekali isi entri sampai habis ye:) Dapat ganjaran tau..biiznillah.

Janji Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“…Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…”
 (S. At Talaaq: 2-3).

******
Sejak dulu lagi telah dikenal pasti bahawa pangkat, harta dan wanita merupakan tiga elemen utama yang boleh menggugat dan melemahkan keimanan serta jati diri seseorang insan. Maka, tidak menghairankan bilamana kaum kafir Quraisy di kota Makkah menggunakan strategi ini untuk menghentikan gerakan dakwah Islam yang dilakukan Nabi Muhammad SAW.

Mereka sanggup dan bersedia menawarkan segala pangkat kebesaran, harta yang banyak dan wanita yang tercantik kepada Nabi Muhammad SAW dengan harapan baginda mahu dan bersetuju menghentikan dakwahnya yang mengancam kepercayaan serta adat yang mereka warisi turun temurun dari datuk nenek mereka.

Namun demikian, tawaran yang lumayan itu tidak langsung dihiraukan oleh Nabi SAW kerana bagi baginda menjunjung titah perintah Allah SWT menyampaikan risalah Islam itu adalah wajib dan lebih besar ganjarannya berbanding pangkat, harta dan wanita. Malah, tekanan serta tentangan kaum kafir Quraisy yang maha hebat disambut baginda dengan semangat serta keazaman yang berkobar-kobar meneruskan dakwah Islam. Ia ditandai dengan penegasannya bahawa sekalipun matahari diletakkan di atas tangan kanannya dan bulan di tangan kirinya, namun menghentikan dakwah Islam tidak sekali.

Jawapan serta sikap Nabi SAW yang tegas itu menyemarakkan lagi api kemarahan kafir Quraisy sehingga mereka nekad untuk membunuh sahaja baginda. Bagaimanapun, perancangan Allah SWT mengatasi perancangan manusia. Rancangan serta niat jahat kaum kafir Quraisy itu tidak kesampaian bilamana Allah SWT menyelamatkan Nabi SAW melalui perintah berhijrah ke Madinah.

Dari peristiwa yang dipaparkan tersebut, jelas berlaku satu perbuatan rasuah. Dengan memberikan
pangkat, harta dan wanita, kaum kafir Quraisy mengharapkan sesuatu imbalan dari Nabi SAW, iaitu
menghentikan gerakan dakwahnya. Walaupun dalam peristiwa itu percubaan merasuah Nabi SAW gagal, namun cuba bayangkan apakah yang akan terjadi kalau harta, kedudukan dan wanita disogokkan kepada ketua, pegawai penguasa, peniaga, petani mahupun rakyat biasa yang lemah imannya serta tidak berintegriti.

Lazimnya, manusia yang mengutamakan kehendak nafsu melihat harta, pangkat dan wanita sebagai
sesuatu yang memberi kepuasan kerana dianggap lambang kemewahan dan kesenangan. Lantas, apabila ada pihak yang mahu dan bersedia memberi rasuah, maka itu merupakan satu peluang bagi mereka memperolehi sesuatu imbuhan atau manfaat. Dalam erti kata lain, selagi ada pihak yang mahu dan bersedia memberi dan menerima rasuah, maka selagi itulah ada orang yang mengambil peluang melakukan jenayah rasuah.

Hakikatnya, rasuah adalah antara masalah etika tertua dalam sejarah manusia yang berakar-umbi daripada kepincangan iman dan integriti masyarakat. Dengan gejala rasuah menyebabkan nilai murni sesebuah masyarakat tercemar kerana rasuah merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diamanahkan yang natijahnya memberi kesan negatif kepada pemerintah, pembangunan, kesejahteraan masyarakat, organisasi serta masyarakat umum. Inilah sebabnya maka rasuah yang berupa penyalahgunaan kuasa mahupun pemberian sesuatu sogokan yang lazimnya dilakukan secara rahsia dengan mengharapkan sesuatu imbalan atau kepentingan tertentu adalah perilaku yang disifatkan sebagai melanggar ajaran agama, undang-undang dan norma hidup manusia yang fitrah.

Menurut undang-undang yang ada di negara kita, semua perbuatan memberi dan menerima suapan adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Mereka yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

Manakala dari segi syarak, rasuah adalah satu perbuatan dosa kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta dengan jalan yang salah. Ia berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Dan salah satu ayat al-Quran yang melarang perbuatan rasuah atau mengambil harta secara salah ialah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa,
padahal kamu mengetahui (salahnya).” (S. Al-Baqarah: 188).

Firman Allah SWT ini melarang umat Islam daripada melakukan rasuah, yakni memakan atau mengambil harta secara salah. Ini termasuklah perbuatan menyalahgunakan kuasa untuk meraih sesuatu manfaat atau kepentingan, memberi atau menerima sesuatu suapan bagi sesuatu urusan, memalsukan dokumen untuk tujuan menipu dan sebagainya.

Larangan melakukan rasuah ditegaskan di dalam beberapa Hadith Rasulullah SAW. Antaranya ialah Hadith yang memberi amaran bahawa Allah SWT melaknat pemberi dan penerima rasuah, sebagaimana Hadith daripada Abdullah bin Amru, beliau berkata yang bermaksud: “bersabda Rasulullah, Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (HR Ibnu Majah).

Dalam Hadith yang lain, ditegaskan bahawa mereka yang menjadi orang tengah atau pengantara dalam transaksi rasuah turut menerima laknat. Ini sebagaimana Hadith daripada Tsauban r.a katanya: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara iaitu yang menjadi penghubung antara keduanya.” (HR Imam Ahmad).

Justeru itu, sayugia diingat bahawa para pelaku rasuah bukan setakat dilaknat dan dikutuk oleh Allah dan Rasul-Nya, malahan diancam masuk neraka pada hari akhirat kelak. Ini berdasarkan kepada hadis
daripada Ibnu Umar RA yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.” (HR At-Tabrani).

Dalil-dalil al-Quran dan hadis tersebut jelas melarang keras umat Islam daripada melakukan rasuah atau budaya “matlamat menghalalkan cara” sama ada dalam memperolehi harta kesenangan, pangkat
mahupun kedudukan tertentu. Ini kerana, rasuah boleh menggugat keharmonian hidup masyarakat,
menggugat keberkesanan perkhidmatan awam dan swasta, menggugat kestabilan politik dan ekonomi
hatta mengancam keselamatan negara.

Ini boleh berlaku dalam situasi di mana mereka yang diberikan tanggungjawab menjalankan sesuatu
tugasan menyalahgunakan amanah berkenaan untuk mengisi kantung dengan cara meminta atau
menerima suapan atau sogokan.

Jadi, cuba bayangkan apakah kesannya terhadap sesebuah organisasi ataupun Negara jika mereka yang diberikan amanah menyalahgunakan kuasanya hanya untuk memenuhi kantungnya dengan cara yang salah. Sudah tentu ia boleh menimbulkan ketirisan hatta merencatkan prestasi.

Sudah terang lagi bersuluh, perlakuan rasuah adalah salah dari segi hukum agama mahupun dari segi
undang-undang negara. Namun persoalannya kenapa jenayah rasuah masih berlaku?

Jawapan mudah terhadap persoalan ini ialah selagi ada pihak yang meminta, memberi dan menerima
rasuah, maka selagi itulah rasuah tidak akan dapat dihapuskan dalam masyarakat, institusi ataupun
organisasi dan negara. Namun jika dilihat dari kerangka yang mendasar, rasuah berpunca daripada
kelemahan iman dan lunturnya jati diri dan integriti.

Jadi, menangani gejala rasuah tidak memadai hanya dengan mengadakan kempen mencegah rasuah serta menahan, mendakwa, membicara dan menghukum pesalah rasuah semata-mata. Ia menuntut
penyemaian benih roh kesedaran untuk membenci sebarang bentuk perbuatan rasuah kerana ia bercanggah dengan hukum agama dan undang-undang negara.

Oleh hal yang demikian, keimanan kepada Allah SWT dan keimanan kepada balasan hari akhirat perlu ditanamkan kepada seluruh warga bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. Dalam usaha ini ia menuntut komitmen institusi keluarga, institusi pendidikan dan badan-badan bukan kerajaan memainkan peranan secara berkesan menanamkan akhlak, akidah dan syariat Islam kepada seluruh warga menurut kapisiti masing-masing. Hanya dengan kesedaran serta penggembelengan tenaga semua pihak dalam membanteras gejala rasuah akan membuahkan hasil melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri dan integriti menjauhi rasuah.

Sebagai kesimpulannya, ditegaskan di sini bahawa sesungguhnya kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan kedudukan adalah juga ujian. Demikian juga dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul adalah ujian.

Oleh itu, telusuri kehidupan dunia yang penuh ujian ini dengan benteng keimanan yang kukuh bagi
meningkatkan daya tahan terhadap gejala rasuah yang memukau pelakunya dengan tarikan kebendaan, kemewahan, kedudukan dan kuasa yang mempesonakan. Beringatlah selalu bahawa setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram akan diazab dalam neraka. Sesiapa yang telah terlanjur memakan atau mengambil benda yang haram, segeralah bertaubat dengan tidak mengulang perbuatan yang dilarang agama sambil memohon ampun serta petunjuk daripada Allah SWT, sebagaimana yang dianjurkan seperti maksud dari firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuhah, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…” (S. At-Tahrim: 8).

*******
Demikianlah kandungan khutbah jumaat untuk minggu ni..takut juga saya membacanya, risau dan terfikir-fikir kalau ada perbuatan saya selama ini yang di luar sedar menghala ke arah rasuah..insyaAllah harap-harapnya tiada. Semoga kita dan seluruh ahli keluarga kita terpelihara dan dijauhi dari perbuatan rasuah ni..amin!

Renung-renungkanlah..

Thursday, October 9, 2014

ANTARA MENGANDUNG DAN KERJAYA

Bismillahirrahmanirrahim..

5 bulan lalu masa baru-baru lagi sah mengandung, saya dan abang rancang nak usaha supaya saya dapat tumpang bertugas kat sekolah lain sementara dalam tempoh mengandung ni..almaklumlah saya kan pernah keguguran masa awal tahun hari tu..kiranya tak nak lah pisang berbuah 2 kali, nak jaga sebaik mungkin kandungan yang kali ni. 

Tapi rancangan cuma tinggal rancangan bila semua tu rupanya bukan mudah..kena minta surat doktor bagai lagi tau sebagai sokongan. Surat doktor tu pula bukan boleh dapat terus bila kita minta..doktor kena cek macam-macam lagi..kena kenal pasti lagi punca keguguran dulu dan sebagainya..Allah, mana lah kami nak sanggup turun naik hospital nak urus perkara tu semata-mata kan..

Akhirnya kami redha je..naik kereta slow-slow je masa first trimester dulu. Lagipun Allah kan ada untuk jaga baby..mungkin yang dulu tu memang bukan rezeki walau macam mana baik sekalipun kandungan tu dijaga..jadi kami pun lupakan segala rancangan dan terus berdepan realiti..haha.

Antara sebab-sebab utama kami buat rancangan macam tu dulu ialah jalan ke sekolah yang agak teruk tak sesuai untuk ibu-ibu mengandung ni..jom lah tengok saya share sikit perjalanan saya pergi sekolah setiap hari kat bawah ni :)

Ni jalan yang tak seberapa berbatu yang kami lalui setiap hari..gambar ni diambil masa hujan.


Nampak tak nun di sana jambatan gantung sedia menanti setiap hari..kereta sampai kat sini je tau lepas tu kena jalan kaki atau naik motor ke seberang..


Perjalanan naik ke atas jambatan..masa ni jambatan licin sebab hujan. 


masa ni kat atas dah..bawah tu garaj tempat kami parking kereta. Berebutlah parking dengan orang kampung..hehe

Ni pula kat atas jambatan dah..jauh kan nak sampai hujung. Dalam 5 minit juga berjalan atas jambatan ni..siap dengan goyang-goyang lagi.


Rupa sungai yang kami seberangi setiap hari..tak ada jalan darat tau. Kalau tak nak naik jambatan, silalah naik bot atau berenang je dengan en.buaya..lalala.


Watak utama dalam cerita ni haruslah bergambar juga kan..meskipun perut 5 bulan seakan nampak slim je..haha

Hah..yang ni serius mencabar terutama waktu hujan macam ni. Licin tau..ibu mengandung sorang ni kalau turun siap bergayut di sepanjang pagar kat tepi tu. Silap langkah boleh bersalin kat situ juga..haha


Bermulalah perjalanan di daratan..kena jalan lagi ok.


Teruskan lagi berjalan..


Lagi dan lagi..


Tak sampai lagi..pagar hijau tu baru masjid kampung ni ye..


Jalan lagi..jalan licin lagi ye. Depan tu jambatan kecil..


Teruskan perjalanan lagi..tak jauh lagi dah.


Tak sampai lagi ni..fuh..


Ok..kali ni betul-betul dah sampai. Bangunan warna oren tu lah tempat saya dan abang bertugas..lalala

Sampai dah..bertakung air sana sini bila hujan. Bila banjir tiba jangan cakaplah..sampai lutut pun ada paras air kat sekolah ni..lalala.


Penat kan tengok gambar perjalanan yang panjang tu..yang melaluinya lagi penat tapi apakan daya. Itulah namanya tanggungjawab dan amanah yang harus ditunaikan. Bayangkan masa kat jalan berbatu yang tak seberapa batu tu abang cuma pandu 15km/j je setiap hari masa 3 bulan pertama mengandung dulu..bersaing dengan kura-kura pun kami akan kalah, haha. Tapi sekarang alhamdulillah dah boleh bawa laju sikit dari tu.

Perjalanan dari turun jambatan sampai ke sekolah tu pula, sebelum mengandung paling laju saya boleh jalan selama 10 minit tapi sekarang 20 minit kot. Tapi masa belum mengandung dulu saya dan abang *rempit* je sampai sekolah..tak adanya naik kereta dan jalan kaki.

Oh..ya, laluan simen tu panjangnya lebih kurang 1 km. Masa antenatal cek up hari tu, nurse ada cakap kemungkinan mudah bersalin nanti sebab tiap hari saya jalan kaki ulang alik sejauh tu..wallahualam tapi harap-harap betul lah..hehe.

Begitulah alkisah saya..antara mengandung dan kerjaya, kedua-duanya penting dan saya berusaha memelihara keduanya. Semoga baby sentiasa sihat dan membesar dengan baik sehingga detik kelahirannya nanti dan menjadi anak yang kuat cekal sebagaimana cekalnya saya turun naik jambatan gantung dan berjalan sejauh itu setiap hari..amin!


Tuesday, October 7, 2014

PENGALAMAN MINUM AIR GULA

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah hari ni selesai appointment kedua dengan doktor..tapi sebelum jumpa doktor tu, buat pertama kalinya saya merasai minum air gula yang *sedap* tu..haha. Sejak jam 10 malam tadi saya dah puasa dan pagi tadi sebelum jam 8 pagi saya dan abang dah berdiri depan makmal klinik..dengan harapan awal kena ambil darah dan minum air gula, awallah juga dapat makan 2 jam kemudian.. haha.

Alhamdulillah Allah permudahkan untuk saya minum air gula tu..saya ikut tips yang kawan dah bagi. Katanya, sebelum minum air gula tu minum air putih dulu sikit lepas tu terus minum air gula tu sampai habis tanpa menoleh ke kiri dan kanan.. haha. Saya nak buat macam tu tapi malangnya air gula tu suam yang masih panas-panas lagi maka terpaksa minum sikit-sikit..dapatlah minum dengan 3 kali teguk je terus licin gelas tu.. haha. Rasa dia fuhhh...manis yang amat tapi alhamdulillah saya berjaya habiskan. Yeah!!



Lepas minum terus ajak abang pergi beli kuih cakoi yang dah lama tak makan..beli je padahal lagi 2 jam baru dapat makan..wawawa. Tengok je lah abang makan pau ayam telur dengan hati tabah..haha. Lebih kurang 1 jam lebih merayau membuang masa, kami pun balik semula ke klinik untuk ambil darah kali kedua. Tepat-tepat jam 10 nama saya dipanggil dan lepas tu dapatlah makan cakoi dengan *lahapnya*..haha. 

Alhamdulillah keputusan gula ok-ok saja..sebelum minum air gula 4.6 bacaannya dan selepas minum air gula 6.6..syukur ya Rabb :) Terus laju-laju tunggu giliran jumpa doktor pula sambil kunyah cakoi.. haha. Oh, ya..saya dan abang beli cakoi perasa peanut dan kaya..nyam-nyam (tiba-tiba bagitau pula).

Masa jumpa doktor, kena scan dan doktor kata baby dah sempurna dan semuanya ok saja.. alhamdulillah :) Selamat berjumpa lagi doktor 2 bulan akan datang..hehe. 

Lepas balik dari klinik jalan lagi sekejap beli barang sikit sebelum balik..masa kat supermarket, tiba-tiba rasa macam pening dan mual rasa nak muntah. Cepat-cepat keluar dari situ dan duduk tepi longkang.. haha. Tak sampai 5 minit semua isi cakoi terkeluar balik..ieeew. Tak lain tak bukan saya salahkan air gula tu lah puncanya.. haha. Tabah je lah lagi 2 bulan kena minum lagi air tu..lalala.


Masuk dalam kereta terus sambung lagi makan cakoi.. haha.

Friday, October 3, 2014

BERKORBAN BERKONGSI KEMAKMURAN TANGANI KEFAKIRAN

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat yang mulia..alhamdulillah hari ni saya masih berpeluang untuk berkongsi khutbah Jumaat dari tempat saya. Semoga kita sama-sama beroleh keberkatan dalam kehidupan..biiznillah. Jom kita teruskan dengan khutbahnya :)

*******
Diriwayatkan bahawa setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW mendapati penduduk Madinah
merayakan dua hari kebesaran iaitu hari Nairuz dan Mahrajan. Lalu Rasulullah bertanya kepada penduduk Madinah tentang perayaan berkenaan. Maka mereka menjawab bahawa perayaan itu adalah perayaan yang disambut sejak datuk nenek mereka lagi.

Lantas Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah menukarkan kepada kamu dua hari tersebut kepada hari yang lebih baik untuk dirayakan iaitu Aidiladha dan Aidilfitri." (HR Abu Daud, Al- Nasa'ei dan Ahmad.

Sehubungan dengan sabda Rasulullah SAW tersebut, marilah kita merafakkan tahmid dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana akan sekali lagi menyambut dan meraikan Aidil Adha atau hari raya korban menjelang 10 Zulhijah 1435H bersamaan dengan 5 Oktober 2014M ini.

Dan sepertimana lazimnya, ia nanti akan kita serikan dengan ucapan takbir, solat sunat Aidil Adha, ibadah korban, pengagihan daging korban dan sebagainya. Inilah antara khususiat/keistimewaan Aidil Adha berbanding Aidil Fitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang
banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).” (S. al-Kauthar: 1-3).

Dari segi bahasa, korban bererti dekat. Manakala dari segi istilah syarak, korban membawa maksud
menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepada- Nya.

Dengan hal yang demikian, menyembelih haiwan korban seperti lembu, kambing dan unta selesai
menunaikan solat Aidil Adha pada pagi 10 Zulhijah sehingga 13 Zulhijah bertujuan mentaati perintah Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya sangatlah dianjurkan oleh Islam.

Ia sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari
Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu perelokkanlah korbanmu." (HR At-Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim).

Justeru, umat Islam yang berhasrat melaksanakan ibadah korban hendaklah memastikan binatang yang hendak dijadikan korban adalah yang terbaik, dalam erti kata sihat, besar, gemuk serta cukup sifatnya (yakni tidak cacat). Korban seekor kambing hanya untuk seorang, manakala seekor lembu atau unta boleh dikongsi tujuh orang.

Memandangkan penyembelihan korban matlamatnya adalah untuk menyahut perintah Allah SWT sekali gus mendekatkan diri kepada-Nya, maka pelaksanaannya mestilah disertai dengan keikhlasan niat, keimanan serta ketakwaan kepada Allah SWT.

Dalam erti kata lain, keredaan Allah SWT tidak akan dapat dicapai hanya dengan menyembelih korban dan membahagikannya, tetapi ia akan hanya dapat dicapai melalui niat dan amal yang ikhlas kerana ketakwaan kepada Allah semata-mata. Ini bertepatan dengan penegasan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu…” 
(S. Al-Hajj: 37).

Jumhur ulama berpendapat bahawa menyembelih korban adalah sunat muakkad bagi umat Islam dan
makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan. Ini kerana kepatuhan kepada Allah SWT
merupakan nilai Islam yang tertinggi. Maka Rasulullah SAW memberi amaran kepada orang yang
berkemampuan tetapi enggan berkorban supaya tidak mendekati tempat solat orang Islam.

Ini sebagaimana Hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah telah bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memiliki kemampuan (dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah ) dan tidak menyembelih, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (HR Ibn Majah).

Dan sesungguhnya, anjuran menyembelih korban merupakan satu kerangka mmemperingati kisah
pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam melaksanakan hukum Allah SWT yang mana Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail seperti yang terakam di dalam al- Quran yang bermaksud:

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringin mukanya di atas tompok tanah, serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang kau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.” (S. Ash- Shaaffat: 103-107).

Berdasarkan kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS tersebut, kita beroleh
pengajaran bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad berupa solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban. Justeru, iktibar serta pengajaran mulia ini diharap dapat memupuk semangat sanggup berkorban apa sahaja di kalangan umat Islam untuk meninggikan agama serta menghilangkan rasa terlalu sayang pada harta kesenangan dunia demi memperoleh redha Allah SWT semata-mata. Ini kerana, hakikat korban di sini tidak terhad kepada menyembelih binatang korban sahaja, bahkan meliputi segala jenis pengorbanan yang boleh memberi faedah serta kebaikan kepada masyarakat terutama sekali golongan yang susah dan memerlukan pertolongan.

Sesungguhnya pensyariatan ibadah korban menjurus kepada perkongsian kemakmuran bagi menangani masalah kefakiran di samping memperkukuh nilai silaturahim yang luar biasa. Ia dijalinkan melalui pembahagian daging korban kepada golongan fakir miskin berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (S. Al-Hajj: 28).

Ayat ini menjelaskan bahawa, kita diperintah untuk mengagihkan dan memberi makan kepada fakir miskin. Ia boleh dikategorikan sebagai satu pengorbanan berkongsi kemakmuran bagi memenuhi maslahah ummah. Maslahah bermaksud kepentingan, kebajikan atau apa-apa yang mendatangkan faedah kepada masyarakat.

Selain itu, ibadah korban bukan sahaja bertujuan menangani masalah kefakiran dalam masyarakat dan mengeratkan ukhuwah Islamiah, akan tetapi ibadah korban itu sebenarnya merupakan salah satu
mekanisme atau cara bagi umat Islam menzahirkan kesyukuran terhadap segala nikmat yang diperolehi daripada Allah SWT. Semakin kita bersyukur, pasti Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat-Nya kepada kita sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras." (S. Ibrahim: 7).

Jelas di sini, kepentingan antara pengorbanan dengan kesyukuran apabila Allah SWT menjanjikan
tambahan nikmat sekiranya kita bersyukur. Sekiranya kita bersyukur dengan menterjemahkannya dalam bentuk pengorbanan berkongsi kemakmuran dengan orang yang fakir dan miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan penyembelihan korban, semakin banyak kenikmatan yang bakal kita perolehi. Maka, berlumba-lumbalah melakukan amal kebajikan mengeluarkan zakat, sedekah dan korban.

Ingatlah bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kita nafkahkan sebahagian dari harta yang kita sukai dan sayangi. Dan apa jua yang kita belanjakan untuk berkongsi kemakmuran dengan masyarakat pasti akan diketahui oleh Allah SWT. Kerana itu, kikislah sifat sifat tamak, kedekut dan bakhil dalam diri agar cenderung menginfakkan harta pada perkara-perkara yang diredai Allah SWT supaya tergolong sebagai orang yang berjaya.

“…Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh
tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (S. Al-Hasyr: 9).

**********
Akhir kata dari saya, selamat menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba..semoga ibadah kita diberkati dan niat kita sentiasa mendapat keberkatan dari-Nya..insyaAllah.


KANAN KE...KIRI??

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ni nak share sesuatu yang rasanya dah ramai kot tau tapi tetap nak share juga..haha. Saya sendiri pun baru dapat tau lepas hadiri kursus B.Arab semalam. JU share macam mana nak kenal pasti yang kita ni sebenarnya lebih kepada penggunaan otak kiri atau kanan. Hmm..sebelum ni saya tak pernah pun nak ambil tau tentang ni tapi bila dah tau ni rasa terpanggil pula nak share kat semua orang..lalala.

Ada 2 cara untuk kenal pasti..yang pertama melalui genggaman tangan. Ambil dua-dua tangan kita dan buat macam ni (dalam gambar)..buat seperti mana kebiasaan tau, tak mau ubah-ubah.


Cara kedua pula ialah berpeluk tubuh..sekarang perhatikan untuk cara pertama di atas, ibu jari sebelah mana yang kat atas dan cara kedua pula perhatikan tangan sebelah mana yang sebelah atas. Kalau dua-dua cara sebelah kiri kat atas maka kita cenderung menggunakan otak kiri dan begitulah sebaliknya. Tapi kalau cara pertama ibu jari kanan kat atas dan cara kedua tangan kiri kat atas pula macam mana??

Kalau macam tu, kita seimbang menggunakan kedua belah otak..syabas dan tahniah ye kalau anda tergolong dalam yang seimbang tu, hehe. 

Secara ringkasnya, macam ni lah lebih kurang pembahagian otak kiri dan otak kanan dalam fungsinya seharian :)


*Gambar minta kat google

Selamat mencuba :)

Wednesday, October 1, 2014

MAKANAN PENUH NOSTALGIA

Bismillahirrahmanirrahim...

Baru je balik dari kk tadi, lepas bersihkan diri semua dan urus diri tanpa sabarnya laju-laju post gambar ni..haha. Makanan ni penuh nostalgia antara saya dan my bff kesayangan sebab dulu masa zaman study, sanggup meredah kesejukan malam dengan 'merempit' semata-mata nak pekena makanan ni..haha. Sudahnya sepanjang menunggu makanan sampai tadi, tak habis lah cakap kat abang yang suel selalu makan camni..suel suka makan camni..haha. Abang diam je lah konon-konon khusyuk dengar si zaujah ni berpidato..lalala.


Sekian entri ringkas jimat masa sebab nak rehat..hehe. Rindu suel bila makan char kuey tiaw nyam-nyam..:) Tadaaa..