Wednesday, August 28, 2013

KITA HANYA MERANCANG

Bismillahirrahmanirrahim...


Duduk diam-diam di rumah sejak beberapa bulan lalu buat saya banyak merancang itu dan ini yang saya pun tak tau bila nak laksanakan. Lepas 1, 1 lagi plan yang muncul. Sebenarnya boleh je laksanakan cuma saya yang..... MALAS! haha..


1. Dah lama plan nak jahit manik-manik, bunga, labuci dan sebagainya kat 2pasang tudung yang kosong tak ada hiasan. Ingatkan nak buat transformasi kat tudung tu tapi entahlah.. jadi transformer la jawabnya tudung tu, haha.


2. Mak ada bagi cadangan suruh buat kuih-kuih kering macam tausa bun atau kuih sapit dan tumpangkan jual kat kedai. Mak bagi idea yang bagus untuk saya isi poket tapi saya.....mahu tapi entahlah. Alasan dalam hati nak kumpul modal dulu untuk beli bahan mentah. Harap-harap tercapai..


3. Nak kemas bilik baru yang dah siap tapi sampai sekarang saya tak bergerak lagi dan masih menumpang tak tau malu kat bilik tidur adik.. aih, nak kena rotan kot saya ni baru nak buat agaknya.. haha.


4. Kursus kahwin. En.tunang dah banyak kali tanya bila nak kursus. Masa masih praktikum hari tu bagi alasan nantilah lepas dah habis kursus kat IPG baru ambil kursus kahwin dengan alasan masa dan saat ni lah saya sangat free. Tapi dah beberapa bulan berlalu pun tak pergi juga.. haha.


5. Nak bersihkan halaman rumah sikit-sikit. Rumah keluarga saya baru lepas renovate, banyak sisa pertukangan di tepi dan belakang rumah. Hari tu saya dah buat sekali tapi entah bila lah nak sambung lagi ni..


6. Nak design jubah sendiri tapi yang ni memang tak boleh bergerak kalau ketua pereka saya belum bergerak iaitu mak tersayang.. haha.


7. Persiapan walimah. Ni no komen sebab saya tak bincang tarikh lagi dengan usrati walaupun tarikh yang dirancang sudah semakin mendekat.. ohhh, susahnya hati.


InsyaAllah selepas ni saya akan berusaha merealisasikan kesemua plan ni sementara masih dikurniakan masa lapang. Bila dah mula posting nanti mesti dah tak sempat nak gapai plan ni. Insaf sangat dengan kemalasan diri yang melampau ni.. agaknya saya kena buat jadual kot lepas ni:)


Apa-apa pun..kita hanya merancang, Yang Maha Esa jua yang menentukan..semoga segala urusan dipermudahkan..


******************


Semalam tiba-tiba sahaja abah mengadu kesakitan di bahagian atas perut..dekat ulu hati lebih kurang. Ingatkan sakit biasa saja tapi bila abah sampai guling-guling atas lantai menahan sakit, saya dan mak jadi panik. Kami hanya bertiga di rumah sebab adik-adik semuanya di asrama.


 Laju-laju saya dan mak capai tudung dan bawa abah ke klinik. Sedih melihat abah dalam keadaan macam tu. Syukurlah lepas diperiksa dan mak bagi abah makan ubat, abah dah tak guling-guling lagi menahan rasa sakit. Tapi saya tau walaupun abah baring macam biasa tapi abah tetap sakit sebab kejap-kejap abah akan pusing kiri dan kanan. Kami biarkan saja abah berehat.. mungkin ubat yang abah telan sedang bekerja melawan virus jahat di badan abah.

 
Masa bawa abah ke klinik tu, teringat pula dulu-dulu zaman saya muda remaja abah lah yang selalu bawa saya ke klinik malam-malam kalau sakit. Tapi sekarang saya pula yang bawa abah ke klinik. Rasa bagaikan masa sedang diterbalikkan.. syukur sangat sebenarnya sebab saya ada bersama mereka di saat mereka memerlukan. Kalau mak dengan abah berdua je semalam saya tak tau lah macam mana agaknya. Mak dah la tak tau memandu apatah lagi menunggang motor. Syukur ya Rabb..


Semoga abah akan cepat sembuh dan dilindungi Allah taala dari penyakit yang berbahaya.. saya sangat sayangkan abah. Sayangkan mak juga..:)


'Rabbighfirli waliwalidaiyya warhamhuma kama rabbayani saghira'
Ampunilah dosa-dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka memeliharaku sejak kecil


Monday, August 26, 2013

SEBALIK SEBUAH INTERVIEW

Bismillahirrahmanirrahim...
 
 
Alhamdulillah interview yang mendebarkan jiwa tu sudah saya lalui..perasan kini kembali lega dan tenang walaupun risau memikirkan hasil interview tu:) Bila sebut temuduga SPP masing-masing maklum biasanya soalan yang ditanya ialah tentang isu semasa, isu pendidikan, dasar pendidikan, opsyen kita masa study sebelum ni, menteri kabinet, YDPA dan yang sewaktu dengannya yang dirasakan patut ditanya.. tapi semua tu tak muncul dalam temuduga saya baru-baru ni..wawawa. Semua yang saya bajet kena tanya 1 pun tak ditanya. Oh..apakah ini??


Kami masuk dalam bilik temuduga secara berkumpulan, semuanya dalam 6orang. 3orang sahabat-sahabat saya dari IPG yang sama dan yang 2 orang lagi dari IPG lain yang saya pun tak sempat nak taaruf sebab dah cuak sangat memikirkan interview.. hehe.


Lepas je serah buku RPH praktikum masing-masing kami diminta perkenalkan diri dalam b.arab seorang demi seorang. Saya perkenalkan diri secara ringkas je..bagitau nama, umur, nama mak dan abah, hobi, asal dan bilangan adik beradik.. haha. Ikutkan hati memanglah nak cakap banyak-banyak lagi tapi bimbang semakin banyak saya bercakap semakin banyak pula kesalahan nahu saya yang akan keluar nanti. 


Lepas taaruf, setiap seorang kena baca surah selain daripada juz amma.. alhamdulillah kami berenam memilih untuk membaca surah al-Baqarah, surah Yasiiin, surah al-Mulk dan surah ar-Rahman. Cuma yang rasa down sikit bila dengar komen panel.. katanya kami semua baca surah biasa-biasa saja. Panel yang bergelar ustaz tu mengharapkan yang kami akan membaca surah-surah seperti surah Yusuf, al-Hadid dan lain-lain. Rasa macam nak kesat peluh di dahi pun ada lepas dengar dia cakap macam tu.. bukan senang tau kena tasmik macam ni dalam sebuah temuduga pula tu.. sabar je lah, haha. Namun insyaAllah saya bermuhasabah diri mendengar teguran diberi..
 
 
Akhir sekali baru panel ajukan soalan buat kami secara umum.. maka kami pun berlumba-lumba angkat tangan dan siapa paling laju maka dia jawab dulu.. haha. Soalan pertama bunyi lebih kurang macam ni, 'mengapakah Pendidikan Islam berteraskan al-Quran dan as-Sunnah?'
bunyi macam senang je kan.. rasa laju je tangan angkat tinggi-tinggi nak jawab dulu. Beria-ia kami menjawab, cerita tentang Nabi Muhammad SAW, isi kandungan al-Quran, penurunan al-Quran kepada baginda nabi, khutbah terakhir baginda, peranan al-Quran dan as-Sunnah dalam pembentukan diri muslim..tapi rupanya semua tu tak tepat bagi panel:(
Panel nak jawapan yang ringkas je, standard murid sekolah rendah yang kami ajar kat sekolah..wawawa. Dia nak jawapan macam ni, 'agama Islam itu benar, maka panduannya ialah al-Quran dan as-Sunnah sebab kedua-duanya juga benar.' Allahuakbar!


Soalan kedua pula ialah 'apakah beza antara silaturrahim dan ukhuwah'..soalan ni paling best sebab kami berenam terkedu seketika dan tidak lagi berlumba-lumba angkat tangan laju-laju macam tadi.. haha. Macam-macam jawapan kami bagi yang akhirnya kami gelak ramai-ramai dalam bilik temuduga tu. Ada juga yang kaitkan dengan ikhwanul muslimin.. Jawapan yang ikut skema ialah, 'silaturrahim tu ialah hablu min annas yang mana kita tak boleh putuskan lebih dari 3 hari.. manakala ukhuwah pula hablu min muslim yang mana kita memang tak boleh putuskan walau sesaat. Setiap muslim tu bersaudara, kalau sesama muslim putus hubungan berdosa besar hukumnya..'


Macam tu lah kisahnya temuduga SPP saya..saya tak kesal semua info yang saya dah baca dan study tak ditanya sebab pastinya Allah nak bagi saya dan teman-teman ilmu lebih. Membaca bukan sekadar untuk exam atau interview tapi untuk menambah ilmu.. ianya ibrah buat saya:)


Sebelum keluar dari bilik temuduga, terselit juga sedikit pujian dari panel..rupanya beliau melihat segala tingkah laku dan adab yang kami pamerkan sepanjang sesi temuduga. Bermula dengan langkah kaki masuk dalam bilik temuduga, adab duduk, adab meminta izin menjawab soalan dan adab berpakaian. Syukurlah kami lepas dalam penilaian dan pemerhatian keseluruhan dari panel. Itu baru sedikit sahaja yang dinilai..bagaimana pula dengan penilaian dan pemerhatian dari 'panel' yang tiada taranya yang 'memerhati' dan 'menilai' kita sebagai hamba setiap saat dan ketika?


Temuduga di dunia ini hanyalah latihan dan ibrah untuk kita berlatih memantapkan diri bagi menghadapi 'temuduga' di alam sana kelak.. wallahualam.
 
 
Ps: Semoga saya dan teman-teman seperjuangan berjaya dalam temuduga dunia itu:)



Saturday, August 17, 2013

Demam Raya

Bismillahirrahmanirrahim...


Baru beberapa hari tingkap syawal terbuka saya sudah diserang 3serangkai- demam,batuk dan selsema.. insyaAllah ujian dari Allah supaya saya tidak berlebih-lebih dalam menyambut syawal barangkali. Syukur juga sebab bila dah demam ni selera makan pun kurang, terlindung dari manisnya minuman dan makanan yang pelbagai di bulan syawal ni.


Walaupun tak sihat saya gagahkan diri juga beraya ke rumah keluarga yang jauh dan dekat. Selagi masih mampu dan masih punya peluang lah katakan..maklumlah raya ni antara saat yang paling sesuai menziarah keluarga dari rumah ke rumah. Nak pergi masa hari biasa belum tentu dapat jumpa sebab masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan dunia. Dengar je nak beraya ke rumah itu dan ini rasa seronok sangat sebab dapat ziarah..


Ramai orang yang salah faham konsep berhari raya dengan datang rumah keluarga, bersalam-salaman kononnya adat datang ke rumah orang dan kemudian minum serta makan kuih raya sambil bercerita bergosip. Tapi sebenarnya hari raya ialah hari kita menyatukan semula ikatan kekeluargaan yang sudah longgar. Masa ni lah kita nak ketatkan balik, nak tarik kuat-kuat biar tak boleh kendur lagi ikatan tu. Salam-salam tu pula adalah untuk bermaaf-maafan minta ampun sambil cakap 0-0 macam orang sekarang buat. Lepas tu pula kalau tak dapat minum atau makan kuih sedap-sedap tak mengapa sebab tu bukan syarat wajib hari raya..


Kiranya kalau semua orang faham konsep ni tak adalah kita bersusah payah buat kuih raya berjenis-jenis lagi.. haha. Ok itu hak individu sebenarnya. Yang penting kita ikhlas menziarah keluarga dan menerima tetamu yang datang:) Macam tu baru hari raya kita berlangsung dengan penuh keberkatan.. jadi marilah kita di kesempatan yang masih ada sementara syawal belum berakhir jom luangkan masa tinggalkan rancangan tv melawat sanak saudara dan sahabat handai sekalian.


Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: 'Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!'"

(Hadith riwayat at-Tirmidzi)


Saya tinggalkan cerita ziarah tadi, nak cerita pula yang saya telah dikunjungi tetamu yang sangat-sangat istimewa dan tidak disangka-sangka pada hari raya ke berapa entah saya pun tak ingat. Si kembar cilik yang saya cerita hari tu datang beraya dengan mak ayah dan adik kecil diorang. Teruja sangat saya menerima kedatangan kembar bijak tu:) Ingatkan kisah saya dan mereka berakhir macam tu saja bila ramadhan sudah berlalu rupanya kisah kami bagai tiada penghujungnya.. apakah tandanya itu?? haha.. doa yang baik-baik saja dalam hati ni.


Kini, pada hari dan saat menulis saya mula tumpukan perhatian sikit-sikit dengan temuduga minggu depan..risau dan berdebar-debar hati ni hanya Allah saja yang tahu. Semoga segalanya dipermudahkan dan berjaya saya hadapi dengan jayanya..amin ya Rabb.


Sunday, August 11, 2013

CERITA HARI RAYA

Bismillahirrahmanirrahim...

Sedih terpaksa melepaskan pemergian bulan ramadhan yang penuh berkah..namun bersyukur dan riang gembira atas kemenangan menempuh segala cabaran di bulan ramadhan..yeah,ahlan ya syawal! Semoga syawal tahun ni dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang terjalin..amin.


Pagi raya dah rasa sedih dan terkilan sebab tak dapat solat sunat aidilfitri berjemaah di masjid. Kaki yang sakit kesan terjatuh dalam longkang hari tu buat saya susah sikit nak solat masa duduk..terpaksalah saya redha je. Pasti ada hikmahnya..


 Hari raya kedua,lepas Solat Jumaat En. tunang sms bertanya boleh tak kalau dia datang ambil saya di rumah dan bawa ke rumahnya. Katanya nak bagi kenal-kenal dengan nenek serta ahli keluarga lain yang datang dari kampung kerukan. Saya rujuk sms tunang pada mak.. mak bagi saya pergi tapi bersama adik.. hehe. Ok lah tu.. ada yang teman, macam tu kan lagi elok. Boleh juga biasa-biasakan adik dengan bakal keluarga mertua:)


Sampai di kampung tunang, saya dibawa beraya di rumah jiran-jiran yang juga keluarga En.tunang. Tak sangka boleh jumpa senior masa sekolah menengah dulu yang rupa-rupanya makcik kepada En. tunang.. hehe. Lama jugalah kami cerita-cerita di rumahnya..sampaikan 'makcik' tu cakap bila lagi nak datang sini, haha. Saya pun jawablah,'insyaAllah tak lama lagi hari-hari saya datang sini..' haha  insyaAllah biiznillah. Yang penting dari rumah ke rumah saya akan makan dan makan apa saja yang menarik dan nampak sedap. Even dah kenyang mata dah mengantuk kekenyangan pun saya still boleh menyuap lagi.. haha. Even kat rumah bakal mertua sekalipun saya dah tak kuasa nak control ayu dan sebagainya.. haha. Jadilah diri anda sendiri:)


Tengahari raya ketiga pula sekali lagi En.tunang sms tanya malam ni saya sekeluarga ada kat rumah tak??? En.tunang dan keluarga nak datang 'serang'..haha. Cepat-cepat tanya mak dan mak cakap insyaAllah tak ke mana. Saya terfikir-fikir apa nak dimasak ni. Macam tak seronok pula nak sambut tetamu bermakna dengan biskut dan kuih raya je. Lagipun semalam di rumah En.tunang saya dijamu dengan nasi pandan, nasi tomato dan nasi kuning. Ayam pula sampai 5 jenis masakan dan bermacam lagi sayur. Maka saya pun plan nak rebus nasi impit, masak rendang ayam, sayur campur dan goreng kue tiaw kegemaran keluarga saya. Simple je untuk keluarga kecil macam saya..kudrat tak ramai, hehe.


Bila dah jam6, mak tiba-tiba teringat ada kenduri kahwin malam ni di 2 tempat. Mak dah bising tentang hal ni. Saya pun dengan berat hati sms En.tunang kata boleh tak tangguh dulu datang beraya.. mak dengan abah nak pergi kenduri kahwin. Mujurlah En.tunang dengan penuh hikmah cakap nak datang juga walaupun sekejap je. Sebabnya bukan senang nak kumpul adik-beradik dia yang 8orang semuanya tu..malam ni kebetulan semua ada maka kena datang juga. Alhamdulillah mak dengan abah ok akhirnya.


Akhirnya semua menu yang dirancang tadi tidak menjadi..jam6.30 saya kelam kabut goreng kue tiaw untuk tetamu bermakna saya..haha. Sambil masak sambil sms sambil buat minuman panas. Mak abah dan adik-adik semua sibuk di luar rumah tadah air hujan. Alhamdulillah jam7 semua sudah siap terhidang biarpun saya tak sempat nak mandi dan bersiap comel-comel..haha. Syukurlah semuanya berjalan lancar dan mereka sekeluarga yang datang dengan 2 buah kereta dapat bersatu di dalam keluarga saya yang kecil.. syukur ya Rabb. Semoga syawal pertama kami bersama dapat menyatukan keluarga kami dalam suasana penuh hikmah dan keberkatan..insyaAllah.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR & BATIN
0-0



Wednesday, August 7, 2013

TRAGEDI SUATU MALAM

Bismillahirrahmanirrahim...


Semalam saya dah terlepas terawih sehari jadi hari ni memang niat sungguh-sungguh kena pergi juga sebab ni dah kira malam last (29 Ramadhan).. malam esok dah tengok anak bulan. Tambah pula malam ni nak khatam al-Quran ramai-ramai, maka saya mesti pergi juga.


Selalu pergi mesti dengan  abah..biasa abah akan tunggu saya untuk pergi sekali. Tapi malam ni abah lambat sikit maka saya pergi dulu naik motor gagah sekali dengan telekung yang menggerbang. Dari jauh nampak macam kain putih je melayang-layang dalam gelap, nasib baik ada cahaya lampu motor.. haha.


Pendek cerita.. selesai je semua urusan ibadah di rumah Allah maka saya pun bergegas pulang. Laju-laju saya jalan menuju ke motor. Macamlah ada orang nak curi motor tu.. haha. Tiba-tiba.. gedebuk! sakitnya hanya Allah saja yang tahu dan Maha Mendengar rintihan saya yang serba control masa tu.. haha. Saya terjatuh ke dalam longkang.. wawawa. Sakit yang amat sangaaaaaaaat di bahagian hadapan betis.


Masa tu dalam hati hanya berharap supaya tiada sesiapa yang nampak sebab tempat tu gelap tiada lampu..tu yang bersungguh-sungguh saya terjatuh dalam longkang tu. Cepat-cepat saya bangun dan buat macam tiada apa yang berlaku walhal dalam hati menahan seluruh rasa sakit dan sangat payah berjalan. Nasib baik lah yang sakit tu kaki sebelah kiri.. selamat dapat start motor dengan jayanya:)


Sampai je rumah terus selak kain baju kurung dan rasa macam nak pengsan (saya tipu) bila tengok betis dah luka + lebam + berdarah.. wawawawa. Mak dah bebel sebab saya tak hati-hati.. dalam hati sempat berkata-kata, 'adakah En.tunang akan turunkan mas kahwin disebabkan kecederaan ini yang confirm akan tinggalkan parut?' haha.. itu tak mungkin akan terjadi.

Allah sayangkan saya sebab tu datangkan ujian camni supaya dosa-dosa kecil terhapus oleh kesakitan ni.. berdenyut-denyut sakitnya tau. Apa pun yang berlaku pasti ada hikmahnya.. siapa tau mungkin ada sesuatu yang lebih besar terjadi kalau saya terus balik tanpa ditimpa ujian itu. Mungkin tragedi yang berlaku untuk mengelakkan saya dari tragedi yang lebih besar kan...hehe.


Selamat menyambut kedatangan syawal dengan parut besar di kaki buat saya:)


Tuesday, August 6, 2013

TIADA MOOD RAYA

Bismillahirrahmanirrahim..


Raya kali ni sangat lain dari yang lain buat saya.. tiada baju raya mahupun tudung raya apatah lagi sebarang aksesori berkaitan. Tipulah kalau jauh di sudut hati saya kata tak sudi nak beraya sakan.. memang nak tapi apakan daya sejak berehat panjang di rumah dengan tiada income maka saya pun sedar diri tidak mau meminta-minta itu dan ini untuk raya dari orang tua. Saya beralah dan dahulukan adik-adik yang serba mau itu dan ini untuk raya.


Macam budak-budak pula rasanya bila hati bagai dihiris-hiris tanda jeles tengok jubah adik yang mak belikan.. haha. Tak mengapalah pasti ada hikmah di sebalik semua yang terjadi ni:)


InsyaAllah tahun ni raya terakhir saya sebagai anak dara..sebab tu tak rasa sangat nak beraya sebab fikiran dah menjangkau memikirkan persiapan untuk walimah beberapa bulan lagi. Saya sedapkan hati tenangkan jiwa kata camni bila tengok ahli keluarga sibuk tayang baju raya masing-masing..'tak mengapalah kali ni saya biasa-biasa saja..insyaAllah masa walimah nanti saya buat persiapan secukup dan selengkapnya..' hehe.


Mood raya saya juga semakin hilang bila keputusan temuduga SPP keluar dan tarikh temuduga saya pada 21 Ogos. Harus bagaimanalah mau menikmati raya bila hati cuak berdebar memikirkan temuduga.. wawawa. Nampak gaya kena study lah saya di hari raya ni di samping buat persiapan secukupnya untuk hadapi temuduga tu nanti. Ok apa dapat study sambil makan kuih raya.. bulan lain tak dapat camni.. haha.


Patutlah saya tak beria nak raya.. nak puasa lagi lama-lama sikit boleh tak? haha..

Semoga Allah permudahkan segala urusan temuduga tu nanti dan semoga saya berjaya laluinya dengan jaya.. amin!


Syukur lillahitaala sebab dah bagi result yang cemerlang buat saya dalam final exam yang lalu..rasa bersyukur yang amat sangat. Walhal study last minit dan asyik tengok detective conan je berselang-seli dengan upin-ipin..hehe. Animasi yang sangat bagus untuk tenangkan fikiran rupanya..:) Syukur ya Allah atas nikmat yang tidak terhingga ini..

p/s: Doakan lah saya berjaya menempuhi temuduga SPP tu nanti..:)


Monday, August 5, 2013

SUATU HARI DI BULAN RAMADHAN

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi kelmarin saya terlepas sahur, bangun je sedar-sedar bilal dah iqamat untuk solat subuh di masjid. Hm..sedihnya rasa hati. tidak mengapalah konon-konon hati berkata. Lepas tu dekat-dekat tengahari mak ajak ke pekan sekejap untuk beli bahan-bahan buat kuih raya. Ok set.. kami pun jalan dua orang.

Sudahlah tidak sahur, cuaca pula panas terik.. sangat menguji keimanan. Sampai je dekat bulatan pekan Beaufort yang tercinta tu, tengok buah-buahan di tengah-tengah bulatan pun air liur macam dah nak meleleh dibuatnya.. haha. Teruk kan sampai tahap camtu sekali. Nasib baik boleh cover & maintain comel depan mak yang ada di sebelah.. hehe.


 Nampak kan buah limau hijau ranum tu.. haha


Akhirnya berjaya juga melepasi bulatan yang 'menyelerakan' tu..tiba-tiba kereta berhenti secara tiba-tiba. Saya cuba bawa bertenang dan cuba start kereta banyak kali. Bila saya sedar yang kereta tu memang dah tak mau start, saya dan mak mula cuak menggelabah. Malu pun ada sebab masa tu kereta duk tengah-tengah jalan, kereta pula baris panjang di belakang. Geram pun ada sebab dah kena hon-hon. Cepat-cepat saya tekan signal kecemasan. Mak pula terus call abah nak minta tolong tapi malangnya abah di sipitang, baru nak mula bertolak balik ke beaufort. Lamanya lagi nak tunggu abah sampai. Saya dengan mak masa tu dah la malu, kepanasan yang amat lagi di bawah panas terik.. hehe. Tidak lama kemudian datanglah 2 orang hamba Allah tolong tolak kereta ke tepi sementara bantuan sampai.. terima kasih sangat-sangat kat hamba Allah tu yang terus pergi lepas tolong alih kereta dari tengah jalan. Hanya Allah saja yang mampu balas kebaikan mereka..jazakallahu khairan kathira.


Dalam kekalutan saya dengan mak menunggu bantuan masa tu tiba-tiba saya teringat seseorang..cepat-cepat saya call dan yeah..tak sampai 5 minit kemudian en.tunang datang dan terus panggil 2 orang kawan mekaniknya.. hehe. Syukur alhamdulillah.. tak sampai sejam lepas tu masalah pun selesai dan abah pun sampai tidak lama kemudian.


 Dekat dengan signboard ni lah kejadian tu berlaku.. haha. Sampai bila-bila saya akan ingat..


Tak sangka betul kejadian camni boleh berlaku.. sampai sekarang saya masih malu bila ingat-ingat balik. Syukurlah masa pergi KK beberapa hari sebelum tu kereta tak buat hal. Kalau tak, tak taulah nak call siapa minta tolong. Syukur masalah tu berlaku di pekan sahaja.. hehe. Setiap kejadian yang berlaku tu ada hikmahnya. Allah datangkan ujian tu sebab tau saya boleh hadapinya.. sebab tu ujian camtu tak didatangkan masa saya ke KK dengan mak hari tu.. Syukur lillahitaala.


Sunday, August 4, 2013

BUNGA COMEL SEMAKIN BERKEMBANG

Bismillahirrahmanirrahim..


Alhamdulillah bisnes semakin berkembang.. semakin banyak tempahan saya terima sampai tak menang tangan dibuatnya.. syukur sangat-sangat. Rata-rata pelanggan adalah kawan-kawan adik yang muda remaja sekolah menengah lagi. Lepas tu dapat tempahan dari kawan-kawan adik yang mengaji dengan saya juga. Paling tak sangka bila temankan mak pergi berurut hari tu, menantu tukang urut tu pun tempah juga. Siap bagi lagi cebisan baju rayanya khas untuk buat bunga-bunga comel.. hehe.


Disebabkan nak memenuhi semua tempahan tu terpaksalah saya tangguhkan dulu hasrat untuk hantar bunga-bunga tu ke kedai runcit kampung sebelah.. insyaAllah nak luaskan lagi pasaran, hehe.






























Semoga kalian semakin berkembang dengan penuh kecomelan:)