Friday, September 5, 2014

BARAKAH SUSU IBU, ANUGERAH TIDAK TERNILAI..

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam jumaat semua..ada sesuatu yang menarik untuk saya kongsi hari ni, cewah! Alkisahnya semalam abang balik dari main badminton terus buka laptop dan print teks khutbah untuk hari ni. Tapi hari ni bukan giliran abang jadi khatib, abang tolong printkan untuk pakciknya yang bertugas hari ni..selesai je abang print teks tu, abang suruh saya teka tajuk khutbah tu..saya terus surrender, manalah dapat nak teka kan. Terus abang baca tajuk khutbah yang abang print dari web JHEAINS -'Barakah Susu Ibu, Anugerah Tidak Ternilai'.. terus saya excited nak baca, haha.

Rugi kan kita orang perempuan tak dapat nak dengar khutbah yang sangat berkaitan dengan diri kita..nak harapkan suami cerita semula lepas balik dari masjid memang macam payah sikit lah kan. Kalau cerita pun, sikit-sikit je kot..dalil-dalilnya tak berapa nak ada. Macam saya pula, tiap kali giliran abang bertugas saya rajin tolong printkan teks untuk abang..jadi saya dapat baca dulu, haha. Kalau abang tak bertugas pula, download sendiri je lah lepas tu baca..syukur sangat dapat jadi isteri abang, ganjaran yang baik insyaAllah dikongsi bersama.

Tapi hari ni saya tak mahu kongsi ganjaran tu berdua je tapi nak kongsi dengan semua pula..dapat lebih lagi kan, hehe. Jom baca sama-sama :) (Ambil yang penting je ni..hehe)

Terdapat beberapa langkah terbaik untuk menyempurnakan perintah Syariat ini, antaranya:
1. Tempoh penyusuan ibu ialah dua tahun genap.
2. Tugas seorang bapa ialah menyempurnakan keperluan makan, minum serta pakaian ibu atau isterinya.
3. Islam tidak memberatkan perintah penyusuan ibu dan makan, minum serta pakaian terhadap bapa, melainkan menurut kadar kemampuan mereka.
4. Jika bapa tiada, maka kewajipan akan beralih kepada waris.
5. Tempoh penyusuan boleh diberhentikan setelah perundingan dan persetujuan sesama suami isteri dicapai.
6. Islam membolehkan penyusuan ibu kepada orang lain dengan upah yang sepatutnya.
7. Bertaqwa kepada Allah SWT adalah kunci dan kemuncak seluruh kehidupan orang yang beriman.

Sehubungan dengan perintah Syariat terhadap penyusuan ibu ini, kerajaan telah mengambil pendekatan proaktif dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran masyarakat, khasnya umat Islam perihal kepentingan serta keberkatan penyusuan ibu untuk bayi yang baru lahir sehingga genap berumur dua tahun.

Kempen kesedaran penyusuan ibu ini sebenarnya selaras dengan tuntutan Syariat Islam. Justeru, kerajaan terus mengukuhkan tuntutan ini dengan menjadikan bulan Ogos setiap tahun sebagai Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia. Di Negara kita hari ini peratusan ibu yang menyusukan bayi bagi sesuatu tempoh adalah 94.7%. Bagaimanapun hanya 14.5% menyusui bayi mereka secara eksklusif selama enam bulan pertama. Manakala bagi Negeri Sabah hanya 55.9% ibu meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif
sehingga bayi berusia enam bulan pada bulan Januari hingga Jun 2014.

Tentang kelebihan susu ibu, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada susu yang lebih baik daripada susu ibunya”. (HR Ar-Ridha).
Sesungguhnya kelebihan, faedah dan manfaat susu ibu teramat banyak kepada bayi dan juga untuk ibu itu sendiri, antaranya ialah:

1. Susu ibu adalah titik permulaan paling baik untuk seorang bayi.
2. Susu ibu menjamin tumbesaran bayi yang sihat.
3. Susu ibu mempunyai khasiat yang tidak ternilai.
4. Penyusuan ibu merapatkan kasih sayang bayi dan ibu.

Manakala manfaat dan kebaikan penyusuan ibu khusus untuk bayi, ialah:
1. Susu ibu berkesan bagi melindungi bayi daripada jangkitan.
2. Susu ibu berkesan merangsang tumbesaran otak bayi.
3. Susu ibu juga mengandungi faktor pertumbuhan dan hormon yang mampu memastikan tumbesaran bayi itu lebih sempurna.

Penyusuan ibu juga amat bermanfaat kepada ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka, selain mendapat jaminan pahala serta keberkatan yang dikurniakan oleh Allah SWT, sesungguhnya penyusuan ibu baik untuk wanita, terutama kaum ibu, antaranya:

1. Penyusuan ibu berkesan untuk melindungi kesihatan ibu.
2. Penyusuan ibu juga berkesan untuk pemulihan fizikal ibu selepas bersalin dengan lebih cepat.
3. Penyusuan ibu boleh menjarakkan kehamilan.
4. Penyusuan ibu tidak semahal susu tin.
5. Penyusuan ibu amat jimat dan lebih ekonomik.

Terdapat kelebihan dan khasiat susu ibu, kerana mengandungi kolostrum berwarna kuning dan menyerupai mentega cair. Kolostrum mengandungi antibodi untuk mencegah jangkitan penyakit. Kolostrum adalah imunisasi pertama terhadap bakteria dan virus. Kolostrum juga mengandungi faktor pertumbuhan yang boleh membantu kematangan usus dan mencegah alahan.

Maka selaras dengan perintah serta tuntutan Syariat ini, juga dengan nilai keberkatan dan pahala, selain banyaknya khasiat susu ibu serta kelebihan atau manfaat kebaikannya, kita sebagai suami, ayah serta ahli keluarga hendaklah memberikan sokongan yang penuh kepada isteri dan ibu kepada bayi dengan memberikan perhatian yang sempurna serta mengurang dan meringankan beban kerja isteri atau ibu di rumah.

Sebagai suami dan ayah kepada bayi yang baru dilahirkan oleh isteri yang kita cintai hendaklah sentiasa memberikan masa rehat yang cukup kepada isteri dan ibu bayi yang baru lahir untuk penghasilan susu ibu yang lebih baik dan sempurna. Paling penting dan amat berkesan ialah kita sebagai suami dan ayah kepada bayi yang baru dilahirkan hendaklah sentiasa memberikan dorongan, motivasi dan sokongan moral kepada isteri dan ibu bayi.

Seterusnya, ikutilah perintah penyusuan ibu ini dengan amal-amal Sunnah lain ketika kita dikurniakan Allah SWT dengan kelahiran anak, iaitu banyak berdoa untuk keselamatan isteri dan anak, sambutlah kelahiran anak dengan azan dan qamat, berilah nama anak dengan nama yang baik-baik seperti nama para Nabi dan orang soleh, tahnikkanlah anak, buatkan aqiqahnya, doakanlah menjadi anak yang beriman, bertaqwa, berakhlak mulia, berilmu, beramal soleh dan sebagainya. Sesungguhnya, anak yang soleh itu adalah harta kita di dunia dan akhirat.

Akhirnya, mudah-mudahan dengan kesungguhan kita melaksanakan perintah Syariat dan ajaran
Islam dalam bab penyusuan ibu ini akan memberikan keberkatan, pahala dan manfaat , rahmat
serta segala kebaikan akan terus mengalir dalam diri, suami isteri, ibu bapa, rumahtangga, ahli
keluarga dan ummah seluruhnya.

Seronok saya baca isi khutbah tu..sangat berkaitan dengan diri sendiri. InsyaAllah memang dah lama berazam dan berniat nak menyusukan baby genap 2tahun..semoga niat yang baik itu dipermudahkan dan diperkenankanNya..amin.


No comments:

Post a Comment