Friday, October 10, 2014

PELAKU RASUAH DALAM NERAKA

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat..penghulu segala hari:) Tajuk khutbah hari ni berkaitan dengan rasuah..semoga kita semua mengambil iktibar dan pengajaran dari isi khutbah yang bakal saya kongsikan ni..dah alang-alang baca tajuk, baca sekali isi entri sampai habis ye:) Dapat ganjaran tau..biiznillah.

Janji Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“…Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…”
 (S. At Talaaq: 2-3).

******
Sejak dulu lagi telah dikenal pasti bahawa pangkat, harta dan wanita merupakan tiga elemen utama yang boleh menggugat dan melemahkan keimanan serta jati diri seseorang insan. Maka, tidak menghairankan bilamana kaum kafir Quraisy di kota Makkah menggunakan strategi ini untuk menghentikan gerakan dakwah Islam yang dilakukan Nabi Muhammad SAW.

Mereka sanggup dan bersedia menawarkan segala pangkat kebesaran, harta yang banyak dan wanita yang tercantik kepada Nabi Muhammad SAW dengan harapan baginda mahu dan bersetuju menghentikan dakwahnya yang mengancam kepercayaan serta adat yang mereka warisi turun temurun dari datuk nenek mereka.

Namun demikian, tawaran yang lumayan itu tidak langsung dihiraukan oleh Nabi SAW kerana bagi baginda menjunjung titah perintah Allah SWT menyampaikan risalah Islam itu adalah wajib dan lebih besar ganjarannya berbanding pangkat, harta dan wanita. Malah, tekanan serta tentangan kaum kafir Quraisy yang maha hebat disambut baginda dengan semangat serta keazaman yang berkobar-kobar meneruskan dakwah Islam. Ia ditandai dengan penegasannya bahawa sekalipun matahari diletakkan di atas tangan kanannya dan bulan di tangan kirinya, namun menghentikan dakwah Islam tidak sekali.

Jawapan serta sikap Nabi SAW yang tegas itu menyemarakkan lagi api kemarahan kafir Quraisy sehingga mereka nekad untuk membunuh sahaja baginda. Bagaimanapun, perancangan Allah SWT mengatasi perancangan manusia. Rancangan serta niat jahat kaum kafir Quraisy itu tidak kesampaian bilamana Allah SWT menyelamatkan Nabi SAW melalui perintah berhijrah ke Madinah.

Dari peristiwa yang dipaparkan tersebut, jelas berlaku satu perbuatan rasuah. Dengan memberikan
pangkat, harta dan wanita, kaum kafir Quraisy mengharapkan sesuatu imbalan dari Nabi SAW, iaitu
menghentikan gerakan dakwahnya. Walaupun dalam peristiwa itu percubaan merasuah Nabi SAW gagal, namun cuba bayangkan apakah yang akan terjadi kalau harta, kedudukan dan wanita disogokkan kepada ketua, pegawai penguasa, peniaga, petani mahupun rakyat biasa yang lemah imannya serta tidak berintegriti.

Lazimnya, manusia yang mengutamakan kehendak nafsu melihat harta, pangkat dan wanita sebagai
sesuatu yang memberi kepuasan kerana dianggap lambang kemewahan dan kesenangan. Lantas, apabila ada pihak yang mahu dan bersedia memberi rasuah, maka itu merupakan satu peluang bagi mereka memperolehi sesuatu imbuhan atau manfaat. Dalam erti kata lain, selagi ada pihak yang mahu dan bersedia memberi dan menerima rasuah, maka selagi itulah ada orang yang mengambil peluang melakukan jenayah rasuah.

Hakikatnya, rasuah adalah antara masalah etika tertua dalam sejarah manusia yang berakar-umbi daripada kepincangan iman dan integriti masyarakat. Dengan gejala rasuah menyebabkan nilai murni sesebuah masyarakat tercemar kerana rasuah merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diamanahkan yang natijahnya memberi kesan negatif kepada pemerintah, pembangunan, kesejahteraan masyarakat, organisasi serta masyarakat umum. Inilah sebabnya maka rasuah yang berupa penyalahgunaan kuasa mahupun pemberian sesuatu sogokan yang lazimnya dilakukan secara rahsia dengan mengharapkan sesuatu imbalan atau kepentingan tertentu adalah perilaku yang disifatkan sebagai melanggar ajaran agama, undang-undang dan norma hidup manusia yang fitrah.

Menurut undang-undang yang ada di negara kita, semua perbuatan memberi dan menerima suapan adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Mereka yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

Manakala dari segi syarak, rasuah adalah satu perbuatan dosa kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta dengan jalan yang salah. Ia berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Dan salah satu ayat al-Quran yang melarang perbuatan rasuah atau mengambil harta secara salah ialah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa,
padahal kamu mengetahui (salahnya).” (S. Al-Baqarah: 188).

Firman Allah SWT ini melarang umat Islam daripada melakukan rasuah, yakni memakan atau mengambil harta secara salah. Ini termasuklah perbuatan menyalahgunakan kuasa untuk meraih sesuatu manfaat atau kepentingan, memberi atau menerima sesuatu suapan bagi sesuatu urusan, memalsukan dokumen untuk tujuan menipu dan sebagainya.

Larangan melakukan rasuah ditegaskan di dalam beberapa Hadith Rasulullah SAW. Antaranya ialah Hadith yang memberi amaran bahawa Allah SWT melaknat pemberi dan penerima rasuah, sebagaimana Hadith daripada Abdullah bin Amru, beliau berkata yang bermaksud: “bersabda Rasulullah, Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (HR Ibnu Majah).

Dalam Hadith yang lain, ditegaskan bahawa mereka yang menjadi orang tengah atau pengantara dalam transaksi rasuah turut menerima laknat. Ini sebagaimana Hadith daripada Tsauban r.a katanya: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara iaitu yang menjadi penghubung antara keduanya.” (HR Imam Ahmad).

Justeru itu, sayugia diingat bahawa para pelaku rasuah bukan setakat dilaknat dan dikutuk oleh Allah dan Rasul-Nya, malahan diancam masuk neraka pada hari akhirat kelak. Ini berdasarkan kepada hadis
daripada Ibnu Umar RA yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.” (HR At-Tabrani).

Dalil-dalil al-Quran dan hadis tersebut jelas melarang keras umat Islam daripada melakukan rasuah atau budaya “matlamat menghalalkan cara” sama ada dalam memperolehi harta kesenangan, pangkat
mahupun kedudukan tertentu. Ini kerana, rasuah boleh menggugat keharmonian hidup masyarakat,
menggugat keberkesanan perkhidmatan awam dan swasta, menggugat kestabilan politik dan ekonomi
hatta mengancam keselamatan negara.

Ini boleh berlaku dalam situasi di mana mereka yang diberikan tanggungjawab menjalankan sesuatu
tugasan menyalahgunakan amanah berkenaan untuk mengisi kantung dengan cara meminta atau
menerima suapan atau sogokan.

Jadi, cuba bayangkan apakah kesannya terhadap sesebuah organisasi ataupun Negara jika mereka yang diberikan amanah menyalahgunakan kuasanya hanya untuk memenuhi kantungnya dengan cara yang salah. Sudah tentu ia boleh menimbulkan ketirisan hatta merencatkan prestasi.

Sudah terang lagi bersuluh, perlakuan rasuah adalah salah dari segi hukum agama mahupun dari segi
undang-undang negara. Namun persoalannya kenapa jenayah rasuah masih berlaku?

Jawapan mudah terhadap persoalan ini ialah selagi ada pihak yang meminta, memberi dan menerima
rasuah, maka selagi itulah rasuah tidak akan dapat dihapuskan dalam masyarakat, institusi ataupun
organisasi dan negara. Namun jika dilihat dari kerangka yang mendasar, rasuah berpunca daripada
kelemahan iman dan lunturnya jati diri dan integriti.

Jadi, menangani gejala rasuah tidak memadai hanya dengan mengadakan kempen mencegah rasuah serta menahan, mendakwa, membicara dan menghukum pesalah rasuah semata-mata. Ia menuntut
penyemaian benih roh kesedaran untuk membenci sebarang bentuk perbuatan rasuah kerana ia bercanggah dengan hukum agama dan undang-undang negara.

Oleh hal yang demikian, keimanan kepada Allah SWT dan keimanan kepada balasan hari akhirat perlu ditanamkan kepada seluruh warga bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. Dalam usaha ini ia menuntut komitmen institusi keluarga, institusi pendidikan dan badan-badan bukan kerajaan memainkan peranan secara berkesan menanamkan akhlak, akidah dan syariat Islam kepada seluruh warga menurut kapisiti masing-masing. Hanya dengan kesedaran serta penggembelengan tenaga semua pihak dalam membanteras gejala rasuah akan membuahkan hasil melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri dan integriti menjauhi rasuah.

Sebagai kesimpulannya, ditegaskan di sini bahawa sesungguhnya kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan kedudukan adalah juga ujian. Demikian juga dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul adalah ujian.

Oleh itu, telusuri kehidupan dunia yang penuh ujian ini dengan benteng keimanan yang kukuh bagi
meningkatkan daya tahan terhadap gejala rasuah yang memukau pelakunya dengan tarikan kebendaan, kemewahan, kedudukan dan kuasa yang mempesonakan. Beringatlah selalu bahawa setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram akan diazab dalam neraka. Sesiapa yang telah terlanjur memakan atau mengambil benda yang haram, segeralah bertaubat dengan tidak mengulang perbuatan yang dilarang agama sambil memohon ampun serta petunjuk daripada Allah SWT, sebagaimana yang dianjurkan seperti maksud dari firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuhah, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…” (S. At-Tahrim: 8).

*******
Demikianlah kandungan khutbah jumaat untuk minggu ni..takut juga saya membacanya, risau dan terfikir-fikir kalau ada perbuatan saya selama ini yang di luar sedar menghala ke arah rasuah..insyaAllah harap-harapnya tiada. Semoga kita dan seluruh ahli keluarga kita terpelihara dan dijauhi dari perbuatan rasuah ni..amin!

Renung-renungkanlah..

No comments:

Post a Comment