Friday, October 3, 2014

BERKORBAN BERKONGSI KEMAKMURAN TANGANI KEFAKIRAN

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat yang mulia..alhamdulillah hari ni saya masih berpeluang untuk berkongsi khutbah Jumaat dari tempat saya. Semoga kita sama-sama beroleh keberkatan dalam kehidupan..biiznillah. Jom kita teruskan dengan khutbahnya :)

*******
Diriwayatkan bahawa setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW mendapati penduduk Madinah
merayakan dua hari kebesaran iaitu hari Nairuz dan Mahrajan. Lalu Rasulullah bertanya kepada penduduk Madinah tentang perayaan berkenaan. Maka mereka menjawab bahawa perayaan itu adalah perayaan yang disambut sejak datuk nenek mereka lagi.

Lantas Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah menukarkan kepada kamu dua hari tersebut kepada hari yang lebih baik untuk dirayakan iaitu Aidiladha dan Aidilfitri." (HR Abu Daud, Al- Nasa'ei dan Ahmad.

Sehubungan dengan sabda Rasulullah SAW tersebut, marilah kita merafakkan tahmid dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana akan sekali lagi menyambut dan meraikan Aidil Adha atau hari raya korban menjelang 10 Zulhijah 1435H bersamaan dengan 5 Oktober 2014M ini.

Dan sepertimana lazimnya, ia nanti akan kita serikan dengan ucapan takbir, solat sunat Aidil Adha, ibadah korban, pengagihan daging korban dan sebagainya. Inilah antara khususiat/keistimewaan Aidil Adha berbanding Aidil Fitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang
banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).” (S. al-Kauthar: 1-3).

Dari segi bahasa, korban bererti dekat. Manakala dari segi istilah syarak, korban membawa maksud
menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepada- Nya.

Dengan hal yang demikian, menyembelih haiwan korban seperti lembu, kambing dan unta selesai
menunaikan solat Aidil Adha pada pagi 10 Zulhijah sehingga 13 Zulhijah bertujuan mentaati perintah Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya sangatlah dianjurkan oleh Islam.

Ia sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari
Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu perelokkanlah korbanmu." (HR At-Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim).

Justeru, umat Islam yang berhasrat melaksanakan ibadah korban hendaklah memastikan binatang yang hendak dijadikan korban adalah yang terbaik, dalam erti kata sihat, besar, gemuk serta cukup sifatnya (yakni tidak cacat). Korban seekor kambing hanya untuk seorang, manakala seekor lembu atau unta boleh dikongsi tujuh orang.

Memandangkan penyembelihan korban matlamatnya adalah untuk menyahut perintah Allah SWT sekali gus mendekatkan diri kepada-Nya, maka pelaksanaannya mestilah disertai dengan keikhlasan niat, keimanan serta ketakwaan kepada Allah SWT.

Dalam erti kata lain, keredaan Allah SWT tidak akan dapat dicapai hanya dengan menyembelih korban dan membahagikannya, tetapi ia akan hanya dapat dicapai melalui niat dan amal yang ikhlas kerana ketakwaan kepada Allah semata-mata. Ini bertepatan dengan penegasan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu…” 
(S. Al-Hajj: 37).

Jumhur ulama berpendapat bahawa menyembelih korban adalah sunat muakkad bagi umat Islam dan
makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan. Ini kerana kepatuhan kepada Allah SWT
merupakan nilai Islam yang tertinggi. Maka Rasulullah SAW memberi amaran kepada orang yang
berkemampuan tetapi enggan berkorban supaya tidak mendekati tempat solat orang Islam.

Ini sebagaimana Hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah telah bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memiliki kemampuan (dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah ) dan tidak menyembelih, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (HR Ibn Majah).

Dan sesungguhnya, anjuran menyembelih korban merupakan satu kerangka mmemperingati kisah
pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam melaksanakan hukum Allah SWT yang mana Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail seperti yang terakam di dalam al- Quran yang bermaksud:

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringin mukanya di atas tompok tanah, serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang kau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.” (S. Ash- Shaaffat: 103-107).

Berdasarkan kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS tersebut, kita beroleh
pengajaran bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad berupa solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban. Justeru, iktibar serta pengajaran mulia ini diharap dapat memupuk semangat sanggup berkorban apa sahaja di kalangan umat Islam untuk meninggikan agama serta menghilangkan rasa terlalu sayang pada harta kesenangan dunia demi memperoleh redha Allah SWT semata-mata. Ini kerana, hakikat korban di sini tidak terhad kepada menyembelih binatang korban sahaja, bahkan meliputi segala jenis pengorbanan yang boleh memberi faedah serta kebaikan kepada masyarakat terutama sekali golongan yang susah dan memerlukan pertolongan.

Sesungguhnya pensyariatan ibadah korban menjurus kepada perkongsian kemakmuran bagi menangani masalah kefakiran di samping memperkukuh nilai silaturahim yang luar biasa. Ia dijalinkan melalui pembahagian daging korban kepada golongan fakir miskin berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (S. Al-Hajj: 28).

Ayat ini menjelaskan bahawa, kita diperintah untuk mengagihkan dan memberi makan kepada fakir miskin. Ia boleh dikategorikan sebagai satu pengorbanan berkongsi kemakmuran bagi memenuhi maslahah ummah. Maslahah bermaksud kepentingan, kebajikan atau apa-apa yang mendatangkan faedah kepada masyarakat.

Selain itu, ibadah korban bukan sahaja bertujuan menangani masalah kefakiran dalam masyarakat dan mengeratkan ukhuwah Islamiah, akan tetapi ibadah korban itu sebenarnya merupakan salah satu
mekanisme atau cara bagi umat Islam menzahirkan kesyukuran terhadap segala nikmat yang diperolehi daripada Allah SWT. Semakin kita bersyukur, pasti Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat-Nya kepada kita sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras." (S. Ibrahim: 7).

Jelas di sini, kepentingan antara pengorbanan dengan kesyukuran apabila Allah SWT menjanjikan
tambahan nikmat sekiranya kita bersyukur. Sekiranya kita bersyukur dengan menterjemahkannya dalam bentuk pengorbanan berkongsi kemakmuran dengan orang yang fakir dan miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan penyembelihan korban, semakin banyak kenikmatan yang bakal kita perolehi. Maka, berlumba-lumbalah melakukan amal kebajikan mengeluarkan zakat, sedekah dan korban.

Ingatlah bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kita nafkahkan sebahagian dari harta yang kita sukai dan sayangi. Dan apa jua yang kita belanjakan untuk berkongsi kemakmuran dengan masyarakat pasti akan diketahui oleh Allah SWT. Kerana itu, kikislah sifat sifat tamak, kedekut dan bakhil dalam diri agar cenderung menginfakkan harta pada perkara-perkara yang diredai Allah SWT supaya tergolong sebagai orang yang berjaya.

“…Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh
tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (S. Al-Hasyr: 9).

**********
Akhir kata dari saya, selamat menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba..semoga ibadah kita diberkati dan niat kita sentiasa mendapat keberkatan dari-Nya..insyaAllah.


2 comments:

  1. ibadah korban, bersedekah.. takkan miskin bg mereka yg berkongsi dan bersedekah kan.

    ReplyDelete