Friday, November 21, 2014

TAHAP KEIMANAN PENENTU RASA TAKUTKAN ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat penghulu segala hari..alhamdulillah hari ni dapat juga peluang dan ruang untuk berkongsi khutbah jumaat untuk hari ni. Rasa macam dah beberapa minggu tak berkongsi khutbah dan perkongsian yang berguna. Tajuk khutbah hari ni seperti di atas ye.. mengenai iman, hm..macam best je. Sama-sama kita baca..

**********
Ketahuilah bahawa sesungguhnya keadaan iman seseorang Muslim itu boleh meningkat dan boleh menurun. Kerana itu, kita hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perkara yang diperintahkan-Nya dan menjauhi segala perkara yang ditegah-Nya dengan meyakini bahawa Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita lakukan. Matlamatnya adalah untuk memastikan diri mati dalam keadaan beriman dan Islam supaya selamat di akhirat kelak sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (S. Ali-Imraan: 102).

Islam menuntut kita supaya berikhtiar sedaya upaya menjauhkan diri dari segala perbuatan yang merugikan dan mendatangkan bahaya atau kerosakan. Pada masa sama, kita dianjurkan supaya berlumba-lumba melakukan kebajikan yang boleh memberikan manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

”…Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (S. Al-Baqarah: 195).

Namun demikian, hakikatnya Orang yang lemah serta tipis imannya tidak begitu menghiraukan sangat larangan agama meskipun menyedari akibat buruk daripada perbuatan-perbuatan mungkar dan maksiat. Ia disebabkan oleh tiadanya perasaan takut dan gerun terhadap Allah SWT dan azab seksa-Nya yang bakal menanti. Kerananya, pelbagai perbuatan mungkar dan maksiat masih terus berlaku di sekeliling kita tanpa mengira waktu malam ataupun siang seperti mencuaikan solat lima waktu, bergaul bebas lelaki dan perempuan, berjudi, minum arak dan sebagainya.

Sesungguhnya rasa takutkan Allah SWT bergantung kepada tahap keimanan seseorang. Jika seseorang Muslim itu percaya adanya Allah SWT tetapi pada masa yang sama tidak merasa gerun atau takut terhadap balasan azab dan neraka Allah SWT, maka dia bolehlah disifatkan lemah dan tipis imannya. Ketiadaan sebarang perasaan gerun dan takut kepada Allah SWT adalah antara tanda hati seseorang itu telah mati. Kenyataan ini bertepatan dengan penjelasan Allah SWT mengenai beberapa ciri atau tanda orang yang benar-benar beriman. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
(S. Al-Anfal: 2).

Melalui ayat ini, dijelaskan tiga ciri orang yang beriman. Pertama, hati merasa gementar dan takut apabila disebut nama Allah SWT dan sifat-sifat-Nya; Kedua, iman semakin teguh apabila mendengar ayat-ayat al- Quran dibacakan; dan Ketiga, menyerah bulat-bulat atau bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT.

Pendek kata, hanya orang yang beriman sahaja yang akan dapat merasai rasa takut kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Rasa takut itu pula menatijahkan sikap tawakal atau penyerahan kepada Allah SWT atas keyakinan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW yang maksum atau dijamin bersih daripada melakukan sebarang dosa dan dijamin masuk syurga pun memiliki rasa takut kepada Allah SWT. Hal ini ditegaskan Baginda dalam sabdanya yang bermaksud: “Akulah manusia yang paling takut kepada Allah di antara kamu.”
(HR. Bukhari)

Oleh hal yang demikian, kita selaku manusia biasa seharusnya lebih merasa takut kepada Allah SWT
berbanding Nabi SAW kerana tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Maka dengan berpandukan kepada tanda-tanda orang beriman yang digariskan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Anfal, ayat 2 tersebut, cuba buat analisa tahap keimanan masing-masing. Tepuk dada Tanya iman:

Adakah hati merasa gementar dan takut bila mana mendengar nama Allah SWT dan sifat-sifat-Nya?
Adakah keadaan iman semakin bertambah dan teguh apabila mendengar bacaan ayat-ayat suci Al Quran? Adakah diri sentiasa menyerah bulat-bulat atau bertawakal kepada Allah SWT sepenuhnya?

Setelah menanyakan kepada diri sendiri persoalan berkenaan, nilailah tahap keimanan sendiri. Kalau diri merasa gementar terhadap Allah SWT, bertambah iman apabila mendengar ayat-ayat Allah SWT dan ada usaha berserah diri kepada Allah SWT, maka ia dikira berada pada tahap baik. Tapi kalau sebaliknya, dikhuatiri keadaan iman berada pada tahap yang lemah serta merudum. Ia adalah tanda tiadanya rasa takut kepada Allah SWT.

Seseorang Muslim yang benar-benar takutkan Allah SWT akan sentiasa terdorong menghambakan dirinya kepada Allah SWT setulus hati. Semua perintah dan larangan Allah SWT dipatuhi dan ditaati tanpa kompromi. Dengan kata lain, seseorang yang ada dalam hatinya rasa takut kepada Allah SWT tidak akan tergamak melanggar segala perintah dan larangan-Nya.

Justeru, jika merasakan iman berada pada tahap yang lemah dan merudum, segeralah bermuhasabah diri. Ambil langkah-langkah memperkukuhkan tahap keimanan dengan meyakini sungguh-sungguh bahawa Allah SWT sebenarnya Wujud dan Berkuasa membalas segala amal hamba-hamba-Nya. Jauhi perasaan syak dan ragu terhadap kewujudan dan kekuasaan Allah SWT dalam apa jua perkara kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Laksanakan segala suruhan Allah SWT dan tinggalkan segala yang dilarang-Nya. Beringatlah selalu, bahawa kita semua akan menghadap Allah SWT pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kita kerjakan di dunia ini.

Orang yang sempurna imannya sentiasa berusaha melakukan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala yang ditegah-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam
sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan
mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnhya mereka tidak tercela; Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.” (S. Al-Mukminun: 1-9).

Ayat ini menyenaraikan beberapa perkara yang dilakukan dan disempurnakan oleh orang yang beriman. Antara perkara yang dimaksudkan itu termasuklah khusyuk ketika bersembahyang, menjauhi diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, berusaha membersihkan harta dengan menunaikan zakat, menjaga kehormatan, bersederhana atau tidak melampau, menjaga amanah serta janji dan sentiasa memelihara solat.

Sehubungan itu, dapat dirumuskan bahawa seseorang mukmin (yakni orang beriman) sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah SWT selain menghindarkan perbuatan yang merugikan serta merosakkan diri sendiri dan orang lain. Ia didorong oleh adanya naluri rasa takutkan Allah SWT dan balasan azab seksa- Nya di dunia dan di akhirat.

Dalam kitab Tanbihul Ghafilin II, tercatat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika berasa gementar hati seorang mukmin kerana takut kepada Allah, maka runtuh dosanya bagaikan daun kering yang gugur dari pohonnya.”

Ini membuktikan Takut adalah sifat terpuji yang sepatutnya ada dalam hati setiap orang Islam yang beriman yang mendambakan darjat takwa dan keampunan dari Allah SWT

Rasa takut kepada Allah SWT akan mendorong seseorang sentiasa berusaha mendekatkan dirinya kepada yang Maha Esa sekali gus menumbuhkan rasa cinta tidak berbelah bahagi terhadap-Nya. Malah, ketakutan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar ketakutan mampu melenyapkan ketakutan manusia terhadap manusia atau makhluk lain. Ketakutan sejati kepada Allah SWT jugalah yang akan menatijahkan keberanian yang luar biasa dalam memburu redha Allah SWT menimba ilmu pengetahuan, bekerja, memperolehi rezeki yang halal, mensejahterakan kehidupan masyarakat, melestarikan keamanan negara dan sebagainya.

Seorang ulama berkata: “Cucilah empat perkara dengan empat perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu dengan bertaubat kepada Penguasamu.”

Sehubungan dengan nasihat ulama tersebut, marilah kita sedari bersama bahawasanya kehidupan di dunia hanyalah sementara. Maka jadikanlah kematian sanak-saudara dan sahabat-handai sebagai iktibar untuk segera bertaubat dengan berhenti serta-merta daripada berbuat dosa dan maksiat dengan menanamkan rasa takut yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Hayatilah peringatan Allah SWT menerusi firman- Nya yang bermaksud:

“…Maka janganlah kamu takut kepada mereka, dan takutlah kamu kepada-Ku (semata-mata)
supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah
(mengenai perkara yang benar).” (S. Al-Baqarah: 150).

**********

Demikianlah isi khutbah jumaat pada minggu ini..semoga kita mendapat manfaat dan mengambil iktibar dari kandungan khutbah itu, amin. Sama-samalah kita menilai diri mengenai tahap keimanan masing-masing.. semoga belum terlambat lagi untuk kita memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan.

No comments:

Post a Comment