Wednesday, July 10, 2013

AHLAN YA RAMADHAN

Bismillahirrahmanirrahim...

Seawal jam 5 petang saya sudah sibuk mencari baju kurung lama untuk pakai pergi terawih malam pertama ramadhan.. lepas dah jumpa saya beralih pula ke almari pakaian mak dengan izinnya untuk ambil 1 kain pelikat abah yang masih baru. Abah memang banyak simpanan kain pelikat yang dibeli sendiri atau cenderamata dari majlis kahwin..jadi saya rembat lah 1 untuk dibuat kain sembahyang. Dari zaman sekolah lagi saya memang selesa memakai telekung bersama kain pelikat..lebar, labuh dan tidak jarang.


Sedang saya memilih design kain pelikat yang agaknya abah tak suka dan sesuai dipakai saya, akhirnya saya memilih kain pelikat warna pink.. hehe. Sangat menawan hati.. dalam hati sangat yakin yang abah tak suka design tu dan saya pun tak adalah rasa bersalah sangat sebab dah kurangkan 1 daripada simpanan kain abah.. hehe. Maaf abah..:)


Malam pertama menunaikan solat terawih, geli hati juga melihat pelbagai gelagat rakan-rakan muslimat yang sama-sama berjemaah.. majoriti terdiri daripada golongan makcik. Ada antaranya yang terlupa berniat witir semasa solat sunat witir dan tetap dengan niat sunat terawih. Ada juga yang keliru dengan bilangan rakaat. Tidak kurang juga yang kebetulan memakai baju warna sedondon sehingga menjadi bahan usikan...


Semasa Solat Isyak, ada seorang makcik tiba-tiba batuk tak henti-henti. Sehingga dia terpaksa keluar dari saf dan batuk di luar ruang solat.. setelah selesai solat, makcik tadi masih dalam solatnya kerana dia terpaksa mengulang semula solat. Saya dapati beliau solat di tempatnya yang asal iaitu antara 2 orang ahli jemaah. Saya tertanya-tanya tidak dirapatkan kah saf selepas makcik yang batuk tadi keluar dari saf?


Selesai solat, kami berkumpul menikmati moreh yang dihidangkan.. makcik yang batuk-batuk masa solat tadi menegur dalam bentuk gurauan makcik yang di kiri dan kanannya masa solat tadi sebab tak rapatkan saf selepas beliau keluar dari solat jemaah. Rupanya benar, kedua makcik itu tidak tahu bagaimana nak rapatkan saf yang lompang ketika solat. Lalu saya membantu makcik yang tadi beri penerangan siap dengan demo sekali macam mana nak atasi perkara itu.


Semasa bersolat secara jemaah, saf mesti dirapatkan biarpun ahli jemaah cuma 2 orang saja. Jika kita dapati ada ruang kosong di sebelah kita tidak kira besar atau kecil ruang itu, kita anjakkan diri untuk menutup ruang itu. Kita bergerak selangkah kemudian berhenti sekejap dan sambung lagi langkah sehingga akhirnya saf itu telah rapat. Tapi pergerakan itu tidak boleh melebihi dari 3 kali. Semasa bergerak pula kepala tidak perlu menoleh.. hanya kaki sahaja yang bergerak.


Harapnya mereka benar-benar sudah memahami dan boleh aplikasi tentangnya bila-bila masa akan datang.. Walaupun terdapat beberapa kekurangan dalam terawih yang pertama ini, para makcik tu terus kata 'biasalah malam yang pertama terawih memang macam ni lah.. dah lama tak buat terawih kan'.. Saya hanya tersenyum mendengar dan melihat gelagat mereka.


Ahlan ya Ramadhan.. syukur alhamdulillah kita masih berpeluang menjalani ibadah puasa pada tahun ini. Semoga ibadah kita semakin sempurna dan lebih diberkati.. amin ya rabbal alamin.


1 comment: