Sunday, January 18, 2015

2nd GIVEAWAY SULAMAN LACE HEAVEN - HAPPY BIRTHDAY

Bismillahirrahmanirrahim..

Sempena bulan kelahiran pemilik blog Sulaman Lace Heaven januari ni, saya dengan sukacita dan besar hati join GA yang dianjurkan oleh beliau..di samping hadiah menarik, boleh sambil-sambil update blog juga kan:)


Siapa nak join masih sempat lagi..GA ni akan tamat pada jam 11.30 malam, 31 januari nanti..jom lah join ramai-ramai! Untuk join, klik je kat banner ye:)

Oh, ya.. pada kesempatan ni, saya ucapkan selamat ulang tahun kelahiran buat fuza,,sanah helwah ukhti! Semoga tercapai segala yang diimpikan dan beroleh kehidupan yang berkat serta bahagia..amin:)

Wednesday, January 14, 2015

DILEMA GURU PENGGANTI

Bismillahirrahmanirrahim...

Baru 3 hari persekolahan bermula sudah ada peristiwa yang mencuit hati berlaku..alkisahnya semalam pada hari kedua persekolahan, saya duduk di bilik guru sendirian. Tiba-tiba saya didatangi 2orang murid tahun 4.

Murid: Ustazah, si maizatul suruh tanya bila ustazah bersalin? Dia nak suruh pakcik dia ganti ustazah.

Saya: Er..yang tu kena tanya guru besar sebab ustazah tak tau tentang perkara tu.

Sebenarnya lebih kepada malas nak layan sebab murid yang datang jumpa tu cuma disuruh dan ikut arahan kawan je..tu yang saja suruh jumpa guru besar terus sebab rasanya diorang tak beranilah dengan guru besar..sekali tak lama lepas tu murid lain pula tapi dari kelas yang sama datang jumpa guru besar tanya perkara sama..

Ingatkan tak berani..sekali berani pula rupanya, hm..macam tu la budak-budak sekarang..tak sangka pula sampai macam tu sekali. Budak yang nak pakcik dia jadi pengganti tu pula, sebenarnya mencadangkan sendiri perkara tu..pakcik dia tak tau apa-apa pun..adoilah.

Baru 3 hari persekolahan juga, kaki saya sudah menbengkak akibat berdiri, berjalan dan duduk yang banyak..wawawa. Sakitnya sampai ke betis kadang tu. Seram sendiri saya nak tengok kaki membengkak, macam nak cucuk-cucuk je bagi kempis balik..haha. Semoga Allah beri saya kekuatan untuk terus kuat menghadapi hari-hari seterusnya ni sebelum saya mula bercuti panjang nanti, insyaAllah..amin.

Thursday, January 8, 2015

33 MINGGU..

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah saat ini baby dalam kandungan sudah pun memasuki 33 minggu..semalam pergi check up kat klinik macam biasa semua ok, yang tak ok nya juga macam biasa..berat badan! Huh..rasa macam nak tumbuk-tumbuk je penimbang tu, haha. Boleh pula dalam masa 2 minggu berat naik 3kg..wawawa. Mak sampai komplen tanya pergi mana berat banyak sangat naik ni..takkan berat baby cecah 5kg, haha.

Pening kepala dibuatnya memikirkan soal berat badan ni..kena rancang betul-betul lah jawabnya plan diet masa pantang nanti, haha.

Baby pula sampai ke saat ni alhamdulillah sihat dan baik-baik saja..masa nurse check semalam, katanya perut padat sangat..tak banyak ruang kosong. Saya pun tak berapa faham maksudnya tapi yang pasti kata nurse anak pertama memang macam tu, anak kedua dan seterusnya nanti baru perut longgar sikit dan tak padat..

Minggu 33 ni juga, kaki mula membengkak tapi pada masa tertentu je..terutama kalau terlebih aktif bergerak. Pergerakan baby pula makin lama makin susah nak rasa..kena tumpukan perhatian sikit baru boleh rasa kadang tu. Agaknya Sebab ruang untuk baby gerak tu dah makin kurang agaknya..

Tidur malam pula mula terasa susah sikit sebab masa kita nak tidur tu lah baby macam baru nak berjaga. Tak senang nak tidur sebab baby asyik bergerak dengan aktifnya..kena pujuk-pujuk dan usap-usap perut dulu baru baby bagi can kita tidur.

Selain tu juga, pergerakan dah makin susah sekarang ni..nak pusing kiri dan kanan pun kena ambil masa sikit. Masa nak bangun dari baring pula kena berpaut pada sesuatu sebagai sokongan untuk bangun..biasa memang abang lah yang jadi mangsa, haha.

Rasanya tu je lah perkembangan baby untuk minggu ke 33 ni..tak dapat nak bayangkan macam manalah keadaan saya agaknya ulang alik ke sekolah start minggu depan. Semoga semuanya dipermudahkan hendaknya..amin ya Allah.

Tuesday, January 6, 2015

SEGMEN: KEMBALI KE SEKOLAH BERSAMA CIKGU AYU

Bismillahirrahmanirrahim...

http://www.ayuinsyirah.my/2015/01/segmen-kembali-ke-sekolah-bersama-cikgu.html

Semoga cikgu Ayu terus bersemangat untuk kembali ke sekolah bermula minggu depan..bersemangat baru dan tidak sabar-sabar hendaknya menjalankan tugas-tugas di sekolah di samping tugas hakiki sebagai guru..insyaAllah niat yang baik akan mendapat ganjaran yang besar di sisiNya..amin.

Kata-kata semangat kat atas tu bukan saja untuk cikgu Ayu malah saya tujukan untuk diri saya sendiri juga supaya bersemangat untuk kembali ke sekolah nanti..maklumlah lama bercuti, risau juga kena penyakit liat ke sekolah nanti..haha. Jom lah join ramai-ramai segmen ni, bersama kita saling memberi kata semangat:)

ENTRI 3HB..

Bismillahirrahmanirrahim...

Rasa macam dah basi sangat entri ni tapi nak buat macam mana, ni kira entri wajib kena update tau..biar lambat pun tapi kena juga update. Pertama sekali pada 3hb baru ni bersamaan dengan 12 Rabiulawal ialah hari kelahiran nabi kita, Nabi Muhammad SAW..alhamdulillah syukur kita masih berpeluang menyambut maulid nabi dan masih berkesempatan untuk berselawat kepada baginda SAW.



*Sumber google*


Keduanya pula..tarikh 3hb itu pula kebetulan tarikh hari lahir abang. Kalau tahun lalu, hari lahir abang kami sambut selepas seminggu bergelar suami isteri..tahun ni pula hari lahir abang kami sambut dalam sebulan lebih lagi ahli keluarga baru kami lahir menjengah dunia..insyaAllah.


Selamat hari lahir abang..doa sayang untuk abang semoga abang dikurniakan kesihatan yang baik, peribadi yang baik, mendapat rahmat dan hidayah yang tidak terhingga darinya serta menjadi suami dan bakal abi yang mithali juga dikurniakan rezeki yang baik..doa yang baik-baik semua untuk abang, aminnnnn! Terima kasih abang kerana menjadi suami yang baik selama ni..sayang abang sangat-sangat yang tidak terhingga..

Sedih rasanya sebab tak dapat nak buat suprise birtday untuk abang tahun ni..kebetulan awal tahun ni sedikit sibuk dan ditambah pula dengan saya yang semakin tidak larat ketika ini..maka ucapan hari lahir untuk abang saya ucapkan padanya sebelum tidur ketika melewati detik 12 tengah malam yang lalu dan saya katakan pada abang, 'minggu depan kita pergi KK kita sambut birthday abang di sana ya?'..macam tu pun boleh lah kan, hehe. Cuma dah ada plan nak buat suprise belikan abang 'sesuatu' yang memang abang nak..insyaAllah semoga dipermudahkanNya, amin.

TRIP TO LABUAN

Bismillahirrahmanirrahim...

Akhirnya hajat nak ke labuan tercapai juga setelah dirancang dari pertengahan tahun tak silap..alhamdulillah Allah permudahkan segala urusan kami sepanjang perjalanan dan juga sepanjang trip itu..lalala. Walaupun sebelum nak pergi tu hati ada sedikit berat nak berangkat memandangkan minggu kami nak pergi tu majlis kahwin kakak sepupu..mujurlah dapat adjust juga masa dan tarikh keberangkatan tu dan dapat balik sama-sama meraikan walimah kakak sepupu tu..alhamdulillah:)

Mengikut plan asal, kami akan berada di labuan selama 3hari 2 malam..tapi masa dalam feri ke labuan, kami dimaklumkan dari penumpang sebelah tempat duduk yang tiket feri untuk balik ke menumbok dah habis untuk 26hb..kena balik 27hb juga. Makanya sampai je kat terminal labuan kami terus beli tiket untuk balik..alhamdulillah masih ada tiket balik pada 26hb..yeah!

Lepas selesai hal tiket, kami kena selesaikan pula hal tempat tinggal..wawawa. Homestay yang abang dah booking still penuh dan masih tak boleh cek in masuk pada hari kejadian..maka bermulalah misi kami pada petang tersebut round 1 bandar dan menghadap smartphone masing-masing menggogle cari tempat kediaman. Serius semua hotel dah penuh untuk family room..tau sajalah bila datang bercuti memang pada waktu cuti. Nasib kami sangat baik bila makcik abang yang kerja kat labuan bawa kami ke 1 homestay betul-betul sebelah berek polis dan tak jauh dari Ujana Kewangan..dalam 5 minit je kot jarak dia. Syukur sangat homestay tu masih kosong masa kami d
atang..phewww.

  
Ni view masa baru nak pergi..stay kat atas feri, semua boleh nampak:)
 
Secara ringkasnya inilah dia homestay kami sepanjang kat labuan tu..selesa juga lah:)

Sebelum jalan-jalan haruslah welfie dulu pada hari kedua kami di sana..lalala

Ahli rombongan kami termasuk abang yang jadi jurukamera..ni 1st tempat yang kami pergi, Muzium Chimney:)


Destinasi seterusnya..Taman Burung.

Sangkar gergasi..ada banyak dan semuanya bersambung-sambung.


Yeah..sempat posing dengan ostrich, haha. Macam tau-tau je ostrich tu kita nak gambar dengan dia..lalala



Teringin nak main tapi gergasi sangat..terus jadi tak pandai main, haha.

Abang sempat candid gelagat budak-budak main kereta kat situ:)

 
Next..ke Pantai Batu Manikar pula kami.


Hari last..nak balik dah..

Sementara tunggu feri nak balik sempat lagi tambah koleksi coklat di terminal:)

Lepas tinggal kereta kat bawah kami pun naik atas dan stay dengan penumpang lain..

Total tambang feri masa pergi dan balik..masa balik murah sikit sebab tak ada cukai. Tambang kenderaan RM50 dan penumpang pula RM2.50..

Fuhh..selesai juga siapkan entri ni yang sepatutnya dah publish hujung tahun lalu lagi..dah beberapa entri tertangguh gara-gara entri ni saja. Upload gambar berapa kali tapi tak dapat nak save..wawawa. Syukurlah akhirnya berjaya juga update entri ni..syukur sangat-sangat:)

InsyaAllah next time nak pergi lagi..ada plan nak tukar tayar kereta kat sana nanti, murah yang amat sebab tak ada cukai kan..haha. Dah tengok dah, untuk tayar kereta saya saja sebiji dalam RM700++ kat sini tapi sana boleh dapat dengan harga RM300++ je untuk jenis yang sama..siapa tak nak kan, hehe. Mana tau ada rezeki pergi dengan baby pula nanti..amin ya Rabb.

Friday, January 2, 2015

MEMAHAT RASA CINTA RASULULLAH SAW

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah pada Jumaat yang pertama di tahun 2015 ni sempat juga saya berkongsi khutbah jumaat dari tempat saya..rasa macam dah beberapa minggu tak share khutbah ni, banyak dah ketinggalan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Tajuk khutbah pada hari ni seperti di atas..berkenaan cinta terhadap rasulullah. Isi khutbah ni bersempena dengan maulid nabi yang bakal tiba esok.

**********
Tetaplah beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya hanya keimanan serta ketaqwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT yang dapat menjamin kebahagiaan hidup seseorang Muslim di dunia dan di hari kemudian kelak. Inilah janji Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“…Orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang yang bertaqwa.” (S. An-Nahl: 30).

Menurut sebuah riwayat, Thauban adalah seorang maula, yakni hamba yang dimerdekakan oleh
Rasulullah SAW. Beliau begitu cintakan Baginda SAW dan tidak dapat menahan sabar atas kecintaannya itu.

Pada suatu hari, beliau telah datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dalam keadaan bersedih.
Lalu Baginda bertanya kepadanya: “Mengapakah kamu kelihatan bersedih?"
Thauban menjawab: “Wahai Rasulullah SAW! Aku tidak ditimpa sakit atau terkejut, selain daripada aku tidak dapat melihat engkau sehingga aku menjadi terlalu rindu kepada mu ya Rasulullah sehingga aku dapat bertemu dengan engkau semula. Kemudian, aku teringat kepada akhirat, lalu aku takut aku tidak dapat melihat engkau kerana engkau akan diangkat bersama para Nabi sedangkan, sekiranya aku dimasukkan ke dalam syurga aku akan berada di tingkat yang rendah daripada tingkat engkau. Sekiranya aku tidak dapat masuk syurga, maka aku selama-lamanya tidak akan dapat melihat engkau."

Demikianlah impian serta harapan seorang yang benar-benar cinta dan kasihkan Nabinya. Dia bukan
sahaja mahu mentaati dan mematuhi segala perintah dan larangannya, malahan kalau dapat mahu
sentiasa bersama dengan Rasulullah SAW pada setiap masa dan tempat ibarat mahu hidup semati
dengan Baginda.

Sebagai muslim, kita wajib menanam dan menyuburkan kasih dan cintakan Nabi Muhammad SAW
yang merupakan Nabi terakir diutuskan Allah SWT untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Ini
kerana jasa dan sumbangan Rasulullah menyampaikan risalah Islam begitu besar dan tidak dapat
dinilai dengan wang ringgit. Perjuangan dan pengorbanan Baginda mengajar dan mengembangkan
Islam dengan sifat benar, amanah, bijaksana dan menyampaikan telah mengeluarkan manusia
daripada kegelapan kepada sinar cahaya Islam. Dengan kata lain, pengutusan Nabi Muhammad SAW
telah membawa perubahan positif terhadap suasana kehidupan manusia melalui panduan serta
petunjuk ke jalan kebahagiaan dan kejayaan.

Rasa kasih dan cinta adalah neraca kecenderungan terhadap sesuatu. Ia menyebabkan seseorang
membenarkan dan mengikuti sesuatu yang dicintainya. Namun cinta sejati ialah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT dan Rasul SAW adalah dengan mengikuti serta mematuhi segala apa yang diarahkan dan diperintahkan. Kecintaan Allah SWT kepada para hambanya pula adalah dengan memberikan limpahan keampunan kepada mereka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (S. Ali-Imraan: 31).

Oleh hal yang demikian, menyemai serta menyubur rasa kasih dan cintakan Rasulullah SAW sangat
dituntut kerana ia sebagai tanda wujudnya iman dalam diri kita. Hal ini ditegaskan oleh Baginda SAW dalam hadis daripada Anas ra katanya: "Rasulullah SAW bersabda tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya." (HR Bukhari dan Muslim).

Rabiulawal adalah bulan bersejarah kerana dalam bulan inilah junjungan besar kita, Nabi Muhammad
SAW dilahirkan. Lantas kita menyambut dan meraikan hari maulid Baginda SAW sebagai mensyukuri rahmat Allah SWT yang menurunkan seorang pemimpin yang mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Kita juga meraikan Maulidur Rasul sebagai memotivasi diri sendiri dan masyarakat Islam seluruhnya supaya memahatkan rasa kasih dan cintakan Rasulullah SAW sepenuh hati demi meraih cinta sejati dari Allah SWT dan Rasul-Nya supaya selamat di dunia dan di akhirat.

Dalam kerangka ini, diperturunkan berikut beberapa panduan untuk memahatkan dan memantapkan
lagi rasa cintakan Rasulullah SAW-

Pertama, mentaati dan mematuhi segala ajaran Rasulullah SAW samada yang berupa suruhan
mahupun larangan Baginda. Ini sejajar dengan sabda Baginda yang maksudnya: "Apa saja yang aku
larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka
lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah kerana
mereka banyak bertanya dan berselisih faham dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh)." (Muttafaqun alaih)

Kedua, mencontohi atau meneladani akhlak Rasulullah SAW yang merupakan manifestasi daripada
ajaran al-Quran. Hal ini bertepatan dengan saranan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat…”
(S. Al-Ahzab: 21).

Ketiga, memperbanyakkan selawat serta ucapan penghormatan ke atas junjungan sebagaimana
dianjurkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada (Nabi Muhammad SAW); wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (S. Al-Ahzab: 56).

Orang yang rajin berselawat kepada Nabi SAW akan bersama Baginda pada hari akhirat kelak. Ini
sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku
pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku." (HR Tirmizi).

Keempat, memiliki buku sirah Nabi SAW. Ia penting sebagai rujukan serta panduan dalam memperolehi, memahami dan menghayati ajaran, perjuangan, pengorbanan, kepimpinan hatta
keseluruhan akhlak Baginda untuk diikuti bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Kelima, sentiasa berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan sunnah Baginda SAW agar sentiasa
berada di jalan yang benar dan diredhai Allah SWT. Langkah ini Sejajar dengan anjuran Rasulullah
melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.” (HR Muttafaqun ‘alaihi).

Keenam, mencintai keluarga dan sahabat Rasulullah SAW, dalam erti kata membela serta
mempertahankan maruah mereka daripada dihina dan dicaci secara bijaksana.

Ketujuh, mendekati para ulama yang disifatkan oleh Baginda SAW sebagai pewaris Nabi-nabi. Hikmahnya adalah untuk memastikan diri supaya sentiasa berada di landasan hidup yang betul dan diredhai Allah SWT di bawah bimbingan dan panduan ulama. Tambahan pula, berkat jasa dan pengorbanan para ulama dan pendakwah Islam sejak dulu menyambung usaha Nabi SAW dalam menegak dan mengembangkan syiar Islam di serata dunia membolehkan kita di zaman mutakhirin ini turut sama menikmati kemanisan iman dan Islam.

Pada suatu hari Umar bin Khattab berkata kepada Rasulullah: “Aku mencintaimu lebih daripada segalanya, kecuali jiwaku sendiri.
Lantas Baginda menjawab: Tidak seorang pun antara kamu yang beriman sehingga aku lebih dicintainya daripada jiwanya sendiri.
Mendengar penjelasan Rasulullah tersebut, Umar segera berkata: Demi Dzat yang menurunkan kitab suci al-Quran ini kepadamu, aku mencintaimu melebihi cintaku kepada diriku sendiri.
Lalu, Rasulullah menegaskan: Wahai Umar, sekarang kamu telah mendapatkannya.” (HR Bukhari).

Sehubungan dengan mafhum Hadith tersebut, marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati terhadap Rasulullah SAW? Ini kerana perisytiharan cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian secara zahir masih belum mencukupi untuk mewujud cinta sejati. Cinta sejati memerlukan pembuktian di mana seseorang yang benar-benar mencintai kekasihnya akan mengutamakan insan yang dikasihinya lebih daripada diri dan kehendak peribadinya sendiri. Kalau tidak mencapai tahap itu, ia belum layak dinamakan kasih sejati yang murni, tetapi sekadar dakwaan sahaja.

Justeru, tepuk dada, tanyalah iman masing-masing. Semoga Allah SWT dengan limpahan rahmat Nya, berkenan menganugerahkan kita dengan cinta-Nya, cinta Rasul-Nya, dan menyubur mekar dalam sanubari kita cinta tulus terhadap Rasulullah SAW sebagaimana yang selayak dan sewajarnya cinta umat kepada pemimpinnya yang agung, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya
kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta
mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang
benar (pengakuan imannya).” (S. Al-Hujurat:15). 

**********
Demikianlah isi kandungan khutbah Jumaat di tempat saya untuk minggu ni..semoga kita semua mengambil pengajaran dan iktibar serta sama-sama memperbaiki diri agar menjadi umat Muhammad yang sejati..insyaAllah:)