Showing posts with label AGAMA. Show all posts
Showing posts with label AGAMA. Show all posts

Saturday, September 3, 2016

ADAB

Bismillahirrahmanirrahim...

Tiba-tiba rasa tak tau macam mana nak mula..lama sangat tinggal blog ni aih. Tapi serius memang kena tulis juga tentang adab ni, lately tengok macam adab ni orang dah tak pedulikan dah.

Kalau ikutkan, semua perkara dalam hidup ni kita kena beradab..semua ok, even ke tandas sekalipun perlu beradab. Tapi saya cuma nak sentuh tentang adab sesama manusia, lebih-lebih lagi dengan orang yang lebih tua.

Tak dinafikan kadang memang kita akan jumpa jenis orang yang lebih tua yang kita tak sebulu atau selalu tak sependapat. Tapi tu tak bermakna yang kita boleh sesuka hati cakap lepas atau bahasa kasarnya 'kurang ajar'.. Nah, ini ada sedikit tips supaya kita kekal menjadi orang yang beradab.

  • Cuba bersangka baik dan elakkan dari sifat buruk sangka.
  • Jauhi orang-orang yang berkenaan.
  • Mengawal emosi dan perasaan bila berdepan dengan orang-orang berkenaan.
  • Banyakkan bersabar.
  • Menyibukkan diri dengan aktiviti tertentu.
  • Tidak mudah mendengar kata orang.
  • Cuba selesaikan secara baik jika berlaku salah faham.
  • Menghormati orang lebih tua sebagaimana kita menghormati Ibu bapa.

Semoga tips -tips di atas bolehlah membantu kita untuk lebih beradab..please, bila orang lebih tua bercakap jawab dan menyahut dengan cara berhemah. Hormatlah mereka sebagaimana kita menghormati ahli keluarga kita sendiri..

Kalau awak nak hati dan perasaan awak dihormati, begitu juga orang lain juga mahu hati dan perasaan mereka dihormati. Bersama-samalah kita menjadi contoh teladan yang baik untuk generasi akan datang..amin.


Renung-renungkanlah..

Tuesday, January 6, 2015

ENTRI 3HB..

Bismillahirrahmanirrahim...

Rasa macam dah basi sangat entri ni tapi nak buat macam mana, ni kira entri wajib kena update tau..biar lambat pun tapi kena juga update. Pertama sekali pada 3hb baru ni bersamaan dengan 12 Rabiulawal ialah hari kelahiran nabi kita, Nabi Muhammad SAW..alhamdulillah syukur kita masih berpeluang menyambut maulid nabi dan masih berkesempatan untuk berselawat kepada baginda SAW.



*Sumber google*


Keduanya pula..tarikh 3hb itu pula kebetulan tarikh hari lahir abang. Kalau tahun lalu, hari lahir abang kami sambut selepas seminggu bergelar suami isteri..tahun ni pula hari lahir abang kami sambut dalam sebulan lebih lagi ahli keluarga baru kami lahir menjengah dunia..insyaAllah.


Selamat hari lahir abang..doa sayang untuk abang semoga abang dikurniakan kesihatan yang baik, peribadi yang baik, mendapat rahmat dan hidayah yang tidak terhingga darinya serta menjadi suami dan bakal abi yang mithali juga dikurniakan rezeki yang baik..doa yang baik-baik semua untuk abang, aminnnnn! Terima kasih abang kerana menjadi suami yang baik selama ni..sayang abang sangat-sangat yang tidak terhingga..

Sedih rasanya sebab tak dapat nak buat suprise birtday untuk abang tahun ni..kebetulan awal tahun ni sedikit sibuk dan ditambah pula dengan saya yang semakin tidak larat ketika ini..maka ucapan hari lahir untuk abang saya ucapkan padanya sebelum tidur ketika melewati detik 12 tengah malam yang lalu dan saya katakan pada abang, 'minggu depan kita pergi KK kita sambut birthday abang di sana ya?'..macam tu pun boleh lah kan, hehe. Cuma dah ada plan nak buat suprise belikan abang 'sesuatu' yang memang abang nak..insyaAllah semoga dipermudahkanNya, amin.

Friday, January 2, 2015

MEMAHAT RASA CINTA RASULULLAH SAW

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah pada Jumaat yang pertama di tahun 2015 ni sempat juga saya berkongsi khutbah jumaat dari tempat saya..rasa macam dah beberapa minggu tak share khutbah ni, banyak dah ketinggalan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Tajuk khutbah pada hari ni seperti di atas..berkenaan cinta terhadap rasulullah. Isi khutbah ni bersempena dengan maulid nabi yang bakal tiba esok.

**********
Tetaplah beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya hanya keimanan serta ketaqwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT yang dapat menjamin kebahagiaan hidup seseorang Muslim di dunia dan di hari kemudian kelak. Inilah janji Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“…Orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang yang bertaqwa.” (S. An-Nahl: 30).

Menurut sebuah riwayat, Thauban adalah seorang maula, yakni hamba yang dimerdekakan oleh
Rasulullah SAW. Beliau begitu cintakan Baginda SAW dan tidak dapat menahan sabar atas kecintaannya itu.

Pada suatu hari, beliau telah datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dalam keadaan bersedih.
Lalu Baginda bertanya kepadanya: “Mengapakah kamu kelihatan bersedih?"
Thauban menjawab: “Wahai Rasulullah SAW! Aku tidak ditimpa sakit atau terkejut, selain daripada aku tidak dapat melihat engkau sehingga aku menjadi terlalu rindu kepada mu ya Rasulullah sehingga aku dapat bertemu dengan engkau semula. Kemudian, aku teringat kepada akhirat, lalu aku takut aku tidak dapat melihat engkau kerana engkau akan diangkat bersama para Nabi sedangkan, sekiranya aku dimasukkan ke dalam syurga aku akan berada di tingkat yang rendah daripada tingkat engkau. Sekiranya aku tidak dapat masuk syurga, maka aku selama-lamanya tidak akan dapat melihat engkau."

Demikianlah impian serta harapan seorang yang benar-benar cinta dan kasihkan Nabinya. Dia bukan
sahaja mahu mentaati dan mematuhi segala perintah dan larangannya, malahan kalau dapat mahu
sentiasa bersama dengan Rasulullah SAW pada setiap masa dan tempat ibarat mahu hidup semati
dengan Baginda.

Sebagai muslim, kita wajib menanam dan menyuburkan kasih dan cintakan Nabi Muhammad SAW
yang merupakan Nabi terakir diutuskan Allah SWT untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Ini
kerana jasa dan sumbangan Rasulullah menyampaikan risalah Islam begitu besar dan tidak dapat
dinilai dengan wang ringgit. Perjuangan dan pengorbanan Baginda mengajar dan mengembangkan
Islam dengan sifat benar, amanah, bijaksana dan menyampaikan telah mengeluarkan manusia
daripada kegelapan kepada sinar cahaya Islam. Dengan kata lain, pengutusan Nabi Muhammad SAW
telah membawa perubahan positif terhadap suasana kehidupan manusia melalui panduan serta
petunjuk ke jalan kebahagiaan dan kejayaan.

Rasa kasih dan cinta adalah neraca kecenderungan terhadap sesuatu. Ia menyebabkan seseorang
membenarkan dan mengikuti sesuatu yang dicintainya. Namun cinta sejati ialah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT dan Rasul SAW adalah dengan mengikuti serta mematuhi segala apa yang diarahkan dan diperintahkan. Kecintaan Allah SWT kepada para hambanya pula adalah dengan memberikan limpahan keampunan kepada mereka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (S. Ali-Imraan: 31).

Oleh hal yang demikian, menyemai serta menyubur rasa kasih dan cintakan Rasulullah SAW sangat
dituntut kerana ia sebagai tanda wujudnya iman dalam diri kita. Hal ini ditegaskan oleh Baginda SAW dalam hadis daripada Anas ra katanya: "Rasulullah SAW bersabda tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya." (HR Bukhari dan Muslim).

Rabiulawal adalah bulan bersejarah kerana dalam bulan inilah junjungan besar kita, Nabi Muhammad
SAW dilahirkan. Lantas kita menyambut dan meraikan hari maulid Baginda SAW sebagai mensyukuri rahmat Allah SWT yang menurunkan seorang pemimpin yang mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Kita juga meraikan Maulidur Rasul sebagai memotivasi diri sendiri dan masyarakat Islam seluruhnya supaya memahatkan rasa kasih dan cintakan Rasulullah SAW sepenuh hati demi meraih cinta sejati dari Allah SWT dan Rasul-Nya supaya selamat di dunia dan di akhirat.

Dalam kerangka ini, diperturunkan berikut beberapa panduan untuk memahatkan dan memantapkan
lagi rasa cintakan Rasulullah SAW-

Pertama, mentaati dan mematuhi segala ajaran Rasulullah SAW samada yang berupa suruhan
mahupun larangan Baginda. Ini sejajar dengan sabda Baginda yang maksudnya: "Apa saja yang aku
larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka
lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah kerana
mereka banyak bertanya dan berselisih faham dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh)." (Muttafaqun alaih)

Kedua, mencontohi atau meneladani akhlak Rasulullah SAW yang merupakan manifestasi daripada
ajaran al-Quran. Hal ini bertepatan dengan saranan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat…”
(S. Al-Ahzab: 21).

Ketiga, memperbanyakkan selawat serta ucapan penghormatan ke atas junjungan sebagaimana
dianjurkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada (Nabi Muhammad SAW); wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (S. Al-Ahzab: 56).

Orang yang rajin berselawat kepada Nabi SAW akan bersama Baginda pada hari akhirat kelak. Ini
sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku
pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku." (HR Tirmizi).

Keempat, memiliki buku sirah Nabi SAW. Ia penting sebagai rujukan serta panduan dalam memperolehi, memahami dan menghayati ajaran, perjuangan, pengorbanan, kepimpinan hatta
keseluruhan akhlak Baginda untuk diikuti bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Kelima, sentiasa berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan sunnah Baginda SAW agar sentiasa
berada di jalan yang benar dan diredhai Allah SWT. Langkah ini Sejajar dengan anjuran Rasulullah
melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.” (HR Muttafaqun ‘alaihi).

Keenam, mencintai keluarga dan sahabat Rasulullah SAW, dalam erti kata membela serta
mempertahankan maruah mereka daripada dihina dan dicaci secara bijaksana.

Ketujuh, mendekati para ulama yang disifatkan oleh Baginda SAW sebagai pewaris Nabi-nabi. Hikmahnya adalah untuk memastikan diri supaya sentiasa berada di landasan hidup yang betul dan diredhai Allah SWT di bawah bimbingan dan panduan ulama. Tambahan pula, berkat jasa dan pengorbanan para ulama dan pendakwah Islam sejak dulu menyambung usaha Nabi SAW dalam menegak dan mengembangkan syiar Islam di serata dunia membolehkan kita di zaman mutakhirin ini turut sama menikmati kemanisan iman dan Islam.

Pada suatu hari Umar bin Khattab berkata kepada Rasulullah: “Aku mencintaimu lebih daripada segalanya, kecuali jiwaku sendiri.
Lantas Baginda menjawab: Tidak seorang pun antara kamu yang beriman sehingga aku lebih dicintainya daripada jiwanya sendiri.
Mendengar penjelasan Rasulullah tersebut, Umar segera berkata: Demi Dzat yang menurunkan kitab suci al-Quran ini kepadamu, aku mencintaimu melebihi cintaku kepada diriku sendiri.
Lalu, Rasulullah menegaskan: Wahai Umar, sekarang kamu telah mendapatkannya.” (HR Bukhari).

Sehubungan dengan mafhum Hadith tersebut, marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati terhadap Rasulullah SAW? Ini kerana perisytiharan cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian secara zahir masih belum mencukupi untuk mewujud cinta sejati. Cinta sejati memerlukan pembuktian di mana seseorang yang benar-benar mencintai kekasihnya akan mengutamakan insan yang dikasihinya lebih daripada diri dan kehendak peribadinya sendiri. Kalau tidak mencapai tahap itu, ia belum layak dinamakan kasih sejati yang murni, tetapi sekadar dakwaan sahaja.

Justeru, tepuk dada, tanyalah iman masing-masing. Semoga Allah SWT dengan limpahan rahmat Nya, berkenan menganugerahkan kita dengan cinta-Nya, cinta Rasul-Nya, dan menyubur mekar dalam sanubari kita cinta tulus terhadap Rasulullah SAW sebagaimana yang selayak dan sewajarnya cinta umat kepada pemimpinnya yang agung, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya
kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta
mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang
benar (pengakuan imannya).” (S. Al-Hujurat:15). 

**********
Demikianlah isi kandungan khutbah Jumaat di tempat saya untuk minggu ni..semoga kita semua mengambil pengajaran dan iktibar serta sama-sama memperbaiki diri agar menjadi umat Muhammad yang sejati..insyaAllah:)

Sunday, December 21, 2014

ZIARAH KE HOSPITAL

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah beberapa hari lalu saya berkesempatan bersama suami dan ibu bapa mertua untuk melawat saudara yang sedang sakit di hospital..saya kurang pasti ikatan keluarga antara kami, namun kaitannya tetap ada. Namun kami terpanggil untuk melawatnya di hospital kerana sudah menjadi tanggungjawab kita yang sihat ni untuk menziarah saudara yang sakit..dalam pada ziarah tu boleh juga ambil ibrah daripadanya.

Alhamdulillah urusan ziarah kami dipermudahkan dan kami juga dapat masuk melawat ke dalam wad tapi tak boleh masuk sekali..kena masuk berdua lepas dah keluar dua baru boleh masuk dua orang yang lain pula. Masa kami masuk melawat, saudara yang sakit tu tak boleh berkomunikasi macam biasa..sebab dia bernafas guna alat pernafasan tu. Dia berkomunikasi sikit-sikit je dengan kami guna bahasa isyarat..sedih rasanya, tak sampai hati nak bawa sembang ke apa.



Ni view dari pintu wad..



Antara keluarga dan orang-orang kampung yang ada kat luar wad..



Masa ni dah lepas melawat..duduk je kat luar wad sambil habiskan masa melawat.

Oh ya..antara adab-adab ketika ziarah orang yang sakit:

* Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut sunnah Rasulullah saw. 

* Memberi nasihat agar bersabar dan tabah menghadapi ujian.

* Bertanyakan tentang ibadatnya; solat dan lain-lain, sekiranya dia tidak mampu ajarlah mereka atau bertanyakan kepada orang yang pandai. 

* Menyampaikan ucapan yang baik agar dapat menghiburkan hati pesakit dan menguatkan jiwanya. 

* Pendek dan jarakkan waktu ziarah, jangan terlalu lama dan kerap menziarahinya. (kecuali pesakit itu mengkehendaki sebaliknya).

* Mendoakan pesakit agar lekas sembuh.


Hadis riwayat Nabi SAW,  Jabir bin Abdillah ada mengatakan, “Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa menziarahi orang sakit, maka dia telah menyelam di dalam rahmat, hingga ketika dia duduk, maka dia tenang di dalamnya.”

Oh, ya,,nak tambah lagi 1. Sekiranya kita menziarah orang yang sakit, hulurkanlah sedekah buatnya biarpun sedikit. Semoga dengan sedekah itu dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung olehnya mahupun ahli keluarganya. Tahu sajalah semasa sakit banyak perbelanjaan yang diperlukan..apatah lagi jika yang sakit itu terpaksa menggunakan pampers dan memerlukan ubat-ubatan yang memerlukan kos tinggi.

Renung-renungkanlah..:)

Friday, November 21, 2014

TAHAP KEIMANAN PENENTU RASA TAKUTKAN ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat penghulu segala hari..alhamdulillah hari ni dapat juga peluang dan ruang untuk berkongsi khutbah jumaat untuk hari ni. Rasa macam dah beberapa minggu tak berkongsi khutbah dan perkongsian yang berguna. Tajuk khutbah hari ni seperti di atas ye.. mengenai iman, hm..macam best je. Sama-sama kita baca..

**********
Ketahuilah bahawa sesungguhnya keadaan iman seseorang Muslim itu boleh meningkat dan boleh menurun. Kerana itu, kita hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perkara yang diperintahkan-Nya dan menjauhi segala perkara yang ditegah-Nya dengan meyakini bahawa Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita lakukan. Matlamatnya adalah untuk memastikan diri mati dalam keadaan beriman dan Islam supaya selamat di akhirat kelak sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (S. Ali-Imraan: 102).

Islam menuntut kita supaya berikhtiar sedaya upaya menjauhkan diri dari segala perbuatan yang merugikan dan mendatangkan bahaya atau kerosakan. Pada masa sama, kita dianjurkan supaya berlumba-lumba melakukan kebajikan yang boleh memberikan manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

”…Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (S. Al-Baqarah: 195).

Namun demikian, hakikatnya Orang yang lemah serta tipis imannya tidak begitu menghiraukan sangat larangan agama meskipun menyedari akibat buruk daripada perbuatan-perbuatan mungkar dan maksiat. Ia disebabkan oleh tiadanya perasaan takut dan gerun terhadap Allah SWT dan azab seksa-Nya yang bakal menanti. Kerananya, pelbagai perbuatan mungkar dan maksiat masih terus berlaku di sekeliling kita tanpa mengira waktu malam ataupun siang seperti mencuaikan solat lima waktu, bergaul bebas lelaki dan perempuan, berjudi, minum arak dan sebagainya.

Sesungguhnya rasa takutkan Allah SWT bergantung kepada tahap keimanan seseorang. Jika seseorang Muslim itu percaya adanya Allah SWT tetapi pada masa yang sama tidak merasa gerun atau takut terhadap balasan azab dan neraka Allah SWT, maka dia bolehlah disifatkan lemah dan tipis imannya. Ketiadaan sebarang perasaan gerun dan takut kepada Allah SWT adalah antara tanda hati seseorang itu telah mati. Kenyataan ini bertepatan dengan penjelasan Allah SWT mengenai beberapa ciri atau tanda orang yang benar-benar beriman. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
(S. Al-Anfal: 2).

Melalui ayat ini, dijelaskan tiga ciri orang yang beriman. Pertama, hati merasa gementar dan takut apabila disebut nama Allah SWT dan sifat-sifat-Nya; Kedua, iman semakin teguh apabila mendengar ayat-ayat al- Quran dibacakan; dan Ketiga, menyerah bulat-bulat atau bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT.

Pendek kata, hanya orang yang beriman sahaja yang akan dapat merasai rasa takut kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Rasa takut itu pula menatijahkan sikap tawakal atau penyerahan kepada Allah SWT atas keyakinan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW yang maksum atau dijamin bersih daripada melakukan sebarang dosa dan dijamin masuk syurga pun memiliki rasa takut kepada Allah SWT. Hal ini ditegaskan Baginda dalam sabdanya yang bermaksud: “Akulah manusia yang paling takut kepada Allah di antara kamu.”
(HR. Bukhari)

Oleh hal yang demikian, kita selaku manusia biasa seharusnya lebih merasa takut kepada Allah SWT
berbanding Nabi SAW kerana tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Maka dengan berpandukan kepada tanda-tanda orang beriman yang digariskan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Anfal, ayat 2 tersebut, cuba buat analisa tahap keimanan masing-masing. Tepuk dada Tanya iman:

Adakah hati merasa gementar dan takut bila mana mendengar nama Allah SWT dan sifat-sifat-Nya?
Adakah keadaan iman semakin bertambah dan teguh apabila mendengar bacaan ayat-ayat suci Al Quran? Adakah diri sentiasa menyerah bulat-bulat atau bertawakal kepada Allah SWT sepenuhnya?

Setelah menanyakan kepada diri sendiri persoalan berkenaan, nilailah tahap keimanan sendiri. Kalau diri merasa gementar terhadap Allah SWT, bertambah iman apabila mendengar ayat-ayat Allah SWT dan ada usaha berserah diri kepada Allah SWT, maka ia dikira berada pada tahap baik. Tapi kalau sebaliknya, dikhuatiri keadaan iman berada pada tahap yang lemah serta merudum. Ia adalah tanda tiadanya rasa takut kepada Allah SWT.

Seseorang Muslim yang benar-benar takutkan Allah SWT akan sentiasa terdorong menghambakan dirinya kepada Allah SWT setulus hati. Semua perintah dan larangan Allah SWT dipatuhi dan ditaati tanpa kompromi. Dengan kata lain, seseorang yang ada dalam hatinya rasa takut kepada Allah SWT tidak akan tergamak melanggar segala perintah dan larangan-Nya.

Justeru, jika merasakan iman berada pada tahap yang lemah dan merudum, segeralah bermuhasabah diri. Ambil langkah-langkah memperkukuhkan tahap keimanan dengan meyakini sungguh-sungguh bahawa Allah SWT sebenarnya Wujud dan Berkuasa membalas segala amal hamba-hamba-Nya. Jauhi perasaan syak dan ragu terhadap kewujudan dan kekuasaan Allah SWT dalam apa jua perkara kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Laksanakan segala suruhan Allah SWT dan tinggalkan segala yang dilarang-Nya. Beringatlah selalu, bahawa kita semua akan menghadap Allah SWT pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kita kerjakan di dunia ini.

Orang yang sempurna imannya sentiasa berusaha melakukan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala yang ditegah-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam
sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan
mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnhya mereka tidak tercela; Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.” (S. Al-Mukminun: 1-9).

Ayat ini menyenaraikan beberapa perkara yang dilakukan dan disempurnakan oleh orang yang beriman. Antara perkara yang dimaksudkan itu termasuklah khusyuk ketika bersembahyang, menjauhi diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, berusaha membersihkan harta dengan menunaikan zakat, menjaga kehormatan, bersederhana atau tidak melampau, menjaga amanah serta janji dan sentiasa memelihara solat.

Sehubungan itu, dapat dirumuskan bahawa seseorang mukmin (yakni orang beriman) sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah SWT selain menghindarkan perbuatan yang merugikan serta merosakkan diri sendiri dan orang lain. Ia didorong oleh adanya naluri rasa takutkan Allah SWT dan balasan azab seksa- Nya di dunia dan di akhirat.

Dalam kitab Tanbihul Ghafilin II, tercatat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika berasa gementar hati seorang mukmin kerana takut kepada Allah, maka runtuh dosanya bagaikan daun kering yang gugur dari pohonnya.”

Ini membuktikan Takut adalah sifat terpuji yang sepatutnya ada dalam hati setiap orang Islam yang beriman yang mendambakan darjat takwa dan keampunan dari Allah SWT

Rasa takut kepada Allah SWT akan mendorong seseorang sentiasa berusaha mendekatkan dirinya kepada yang Maha Esa sekali gus menumbuhkan rasa cinta tidak berbelah bahagi terhadap-Nya. Malah, ketakutan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar ketakutan mampu melenyapkan ketakutan manusia terhadap manusia atau makhluk lain. Ketakutan sejati kepada Allah SWT jugalah yang akan menatijahkan keberanian yang luar biasa dalam memburu redha Allah SWT menimba ilmu pengetahuan, bekerja, memperolehi rezeki yang halal, mensejahterakan kehidupan masyarakat, melestarikan keamanan negara dan sebagainya.

Seorang ulama berkata: “Cucilah empat perkara dengan empat perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu dengan bertaubat kepada Penguasamu.”

Sehubungan dengan nasihat ulama tersebut, marilah kita sedari bersama bahawasanya kehidupan di dunia hanyalah sementara. Maka jadikanlah kematian sanak-saudara dan sahabat-handai sebagai iktibar untuk segera bertaubat dengan berhenti serta-merta daripada berbuat dosa dan maksiat dengan menanamkan rasa takut yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Hayatilah peringatan Allah SWT menerusi firman- Nya yang bermaksud:

“…Maka janganlah kamu takut kepada mereka, dan takutlah kamu kepada-Ku (semata-mata)
supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah
(mengenai perkara yang benar).” (S. Al-Baqarah: 150).

**********

Demikianlah isi khutbah jumaat pada minggu ini..semoga kita mendapat manfaat dan mengambil iktibar dari kandungan khutbah itu, amin. Sama-samalah kita menilai diri mengenai tahap keimanan masing-masing.. semoga belum terlambat lagi untuk kita memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan.

Wednesday, November 5, 2014

SAYA BUKAN CURI...

Bismillahirrahmanirrahim...

Pada suatu petang, saya dan mak (mertua) duduk di dapur..kakak ipar ada sekali tak silap. Bapa (mertua) yang kerjanya menjaga kedai seharian datang ke arah kami. Bapa buka cerita..tentang Furqan, salah seorang cucunya yang tinggal bersama kami.

Kata bapa, ada orang kebetulan datang ke kedai cerita padanya..dia selalu nampak budak Furqan tu duk korek-korek tabung masjid setiap hari Jumaat. Tapi dia tak pernah berjaya ambil duit dalam tabung tu katanya..dah lama dia nak cerita dekat bapa tapi tak berkesempatan.


Lepas dengar cerita bapa tu, mak terus masuk ke bilik Furqan dan tanya pada dia betul ke tak dia ada korek-korek tabung masjid tu..dia mengaku juga tapi katanya dia tak curi. Dia selalu nampak duit tersangkut kat lubang tabung, sebab tu dia jolok-jolok cuba nak tolong masukkan duit yang tersangkut tu.

Lepas tu mak pesan kat dia, lain kali tak payah tolong masukkan duit lagi walaupun nampak duit tersangkut kat situ..orang bersangka buruk, tuduh dia nak curi duit tu. Furqan pun faham lepas mak pesan macam tu..tapi dia tanya pula macam mana mak tau yang dia ada sentuh tabung tu. Selamba je mak jawab yang kat masjid ada CCTV.. haha. Takut budak Furqan tu dibuatnya..

Buat baik disalah anggap, buat jahat lagi salah..tu yang mak tak bagi Furqan buat baik macam tu lagi. Seeloknya sebagai orang yang lebih berumur, kita lebih bijak menilai dan tidak terburu-buru membuat kesimpulan tentang seseorang lebih-lebih lagi pada budak yang hanya berumur 9 tahun. Dekati dan tanya dahulu dan kemudian barulah nasihatkan yang sepatutnya..

Semoga kita mengambil pengajaran daripada kisah ini..renung-renungkanlah:)

Friday, October 10, 2014

PELAKU RASUAH DALAM NERAKA

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat..penghulu segala hari:) Tajuk khutbah hari ni berkaitan dengan rasuah..semoga kita semua mengambil iktibar dan pengajaran dari isi khutbah yang bakal saya kongsikan ni..dah alang-alang baca tajuk, baca sekali isi entri sampai habis ye:) Dapat ganjaran tau..biiznillah.

Janji Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“…Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…”
 (S. At Talaaq: 2-3).

******
Sejak dulu lagi telah dikenal pasti bahawa pangkat, harta dan wanita merupakan tiga elemen utama yang boleh menggugat dan melemahkan keimanan serta jati diri seseorang insan. Maka, tidak menghairankan bilamana kaum kafir Quraisy di kota Makkah menggunakan strategi ini untuk menghentikan gerakan dakwah Islam yang dilakukan Nabi Muhammad SAW.

Mereka sanggup dan bersedia menawarkan segala pangkat kebesaran, harta yang banyak dan wanita yang tercantik kepada Nabi Muhammad SAW dengan harapan baginda mahu dan bersetuju menghentikan dakwahnya yang mengancam kepercayaan serta adat yang mereka warisi turun temurun dari datuk nenek mereka.

Namun demikian, tawaran yang lumayan itu tidak langsung dihiraukan oleh Nabi SAW kerana bagi baginda menjunjung titah perintah Allah SWT menyampaikan risalah Islam itu adalah wajib dan lebih besar ganjarannya berbanding pangkat, harta dan wanita. Malah, tekanan serta tentangan kaum kafir Quraisy yang maha hebat disambut baginda dengan semangat serta keazaman yang berkobar-kobar meneruskan dakwah Islam. Ia ditandai dengan penegasannya bahawa sekalipun matahari diletakkan di atas tangan kanannya dan bulan di tangan kirinya, namun menghentikan dakwah Islam tidak sekali.

Jawapan serta sikap Nabi SAW yang tegas itu menyemarakkan lagi api kemarahan kafir Quraisy sehingga mereka nekad untuk membunuh sahaja baginda. Bagaimanapun, perancangan Allah SWT mengatasi perancangan manusia. Rancangan serta niat jahat kaum kafir Quraisy itu tidak kesampaian bilamana Allah SWT menyelamatkan Nabi SAW melalui perintah berhijrah ke Madinah.

Dari peristiwa yang dipaparkan tersebut, jelas berlaku satu perbuatan rasuah. Dengan memberikan
pangkat, harta dan wanita, kaum kafir Quraisy mengharapkan sesuatu imbalan dari Nabi SAW, iaitu
menghentikan gerakan dakwahnya. Walaupun dalam peristiwa itu percubaan merasuah Nabi SAW gagal, namun cuba bayangkan apakah yang akan terjadi kalau harta, kedudukan dan wanita disogokkan kepada ketua, pegawai penguasa, peniaga, petani mahupun rakyat biasa yang lemah imannya serta tidak berintegriti.

Lazimnya, manusia yang mengutamakan kehendak nafsu melihat harta, pangkat dan wanita sebagai
sesuatu yang memberi kepuasan kerana dianggap lambang kemewahan dan kesenangan. Lantas, apabila ada pihak yang mahu dan bersedia memberi rasuah, maka itu merupakan satu peluang bagi mereka memperolehi sesuatu imbuhan atau manfaat. Dalam erti kata lain, selagi ada pihak yang mahu dan bersedia memberi dan menerima rasuah, maka selagi itulah ada orang yang mengambil peluang melakukan jenayah rasuah.

Hakikatnya, rasuah adalah antara masalah etika tertua dalam sejarah manusia yang berakar-umbi daripada kepincangan iman dan integriti masyarakat. Dengan gejala rasuah menyebabkan nilai murni sesebuah masyarakat tercemar kerana rasuah merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diamanahkan yang natijahnya memberi kesan negatif kepada pemerintah, pembangunan, kesejahteraan masyarakat, organisasi serta masyarakat umum. Inilah sebabnya maka rasuah yang berupa penyalahgunaan kuasa mahupun pemberian sesuatu sogokan yang lazimnya dilakukan secara rahsia dengan mengharapkan sesuatu imbalan atau kepentingan tertentu adalah perilaku yang disifatkan sebagai melanggar ajaran agama, undang-undang dan norma hidup manusia yang fitrah.

Menurut undang-undang yang ada di negara kita, semua perbuatan memberi dan menerima suapan adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Mereka yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

Manakala dari segi syarak, rasuah adalah satu perbuatan dosa kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta dengan jalan yang salah. Ia berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW. Dan salah satu ayat al-Quran yang melarang perbuatan rasuah atau mengambil harta secara salah ialah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa,
padahal kamu mengetahui (salahnya).” (S. Al-Baqarah: 188).

Firman Allah SWT ini melarang umat Islam daripada melakukan rasuah, yakni memakan atau mengambil harta secara salah. Ini termasuklah perbuatan menyalahgunakan kuasa untuk meraih sesuatu manfaat atau kepentingan, memberi atau menerima sesuatu suapan bagi sesuatu urusan, memalsukan dokumen untuk tujuan menipu dan sebagainya.

Larangan melakukan rasuah ditegaskan di dalam beberapa Hadith Rasulullah SAW. Antaranya ialah Hadith yang memberi amaran bahawa Allah SWT melaknat pemberi dan penerima rasuah, sebagaimana Hadith daripada Abdullah bin Amru, beliau berkata yang bermaksud: “bersabda Rasulullah, Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (HR Ibnu Majah).

Dalam Hadith yang lain, ditegaskan bahawa mereka yang menjadi orang tengah atau pengantara dalam transaksi rasuah turut menerima laknat. Ini sebagaimana Hadith daripada Tsauban r.a katanya: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara iaitu yang menjadi penghubung antara keduanya.” (HR Imam Ahmad).

Justeru itu, sayugia diingat bahawa para pelaku rasuah bukan setakat dilaknat dan dikutuk oleh Allah dan Rasul-Nya, malahan diancam masuk neraka pada hari akhirat kelak. Ini berdasarkan kepada hadis
daripada Ibnu Umar RA yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.” (HR At-Tabrani).

Dalil-dalil al-Quran dan hadis tersebut jelas melarang keras umat Islam daripada melakukan rasuah atau budaya “matlamat menghalalkan cara” sama ada dalam memperolehi harta kesenangan, pangkat
mahupun kedudukan tertentu. Ini kerana, rasuah boleh menggugat keharmonian hidup masyarakat,
menggugat keberkesanan perkhidmatan awam dan swasta, menggugat kestabilan politik dan ekonomi
hatta mengancam keselamatan negara.

Ini boleh berlaku dalam situasi di mana mereka yang diberikan tanggungjawab menjalankan sesuatu
tugasan menyalahgunakan amanah berkenaan untuk mengisi kantung dengan cara meminta atau
menerima suapan atau sogokan.

Jadi, cuba bayangkan apakah kesannya terhadap sesebuah organisasi ataupun Negara jika mereka yang diberikan amanah menyalahgunakan kuasanya hanya untuk memenuhi kantungnya dengan cara yang salah. Sudah tentu ia boleh menimbulkan ketirisan hatta merencatkan prestasi.

Sudah terang lagi bersuluh, perlakuan rasuah adalah salah dari segi hukum agama mahupun dari segi
undang-undang negara. Namun persoalannya kenapa jenayah rasuah masih berlaku?

Jawapan mudah terhadap persoalan ini ialah selagi ada pihak yang meminta, memberi dan menerima
rasuah, maka selagi itulah rasuah tidak akan dapat dihapuskan dalam masyarakat, institusi ataupun
organisasi dan negara. Namun jika dilihat dari kerangka yang mendasar, rasuah berpunca daripada
kelemahan iman dan lunturnya jati diri dan integriti.

Jadi, menangani gejala rasuah tidak memadai hanya dengan mengadakan kempen mencegah rasuah serta menahan, mendakwa, membicara dan menghukum pesalah rasuah semata-mata. Ia menuntut
penyemaian benih roh kesedaran untuk membenci sebarang bentuk perbuatan rasuah kerana ia bercanggah dengan hukum agama dan undang-undang negara.

Oleh hal yang demikian, keimanan kepada Allah SWT dan keimanan kepada balasan hari akhirat perlu ditanamkan kepada seluruh warga bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. Dalam usaha ini ia menuntut komitmen institusi keluarga, institusi pendidikan dan badan-badan bukan kerajaan memainkan peranan secara berkesan menanamkan akhlak, akidah dan syariat Islam kepada seluruh warga menurut kapisiti masing-masing. Hanya dengan kesedaran serta penggembelengan tenaga semua pihak dalam membanteras gejala rasuah akan membuahkan hasil melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri dan integriti menjauhi rasuah.

Sebagai kesimpulannya, ditegaskan di sini bahawa sesungguhnya kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan kedudukan adalah juga ujian. Demikian juga dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul adalah ujian.

Oleh itu, telusuri kehidupan dunia yang penuh ujian ini dengan benteng keimanan yang kukuh bagi
meningkatkan daya tahan terhadap gejala rasuah yang memukau pelakunya dengan tarikan kebendaan, kemewahan, kedudukan dan kuasa yang mempesonakan. Beringatlah selalu bahawa setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram akan diazab dalam neraka. Sesiapa yang telah terlanjur memakan atau mengambil benda yang haram, segeralah bertaubat dengan tidak mengulang perbuatan yang dilarang agama sambil memohon ampun serta petunjuk daripada Allah SWT, sebagaimana yang dianjurkan seperti maksud dari firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuhah, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…” (S. At-Tahrim: 8).

*******
Demikianlah kandungan khutbah jumaat untuk minggu ni..takut juga saya membacanya, risau dan terfikir-fikir kalau ada perbuatan saya selama ini yang di luar sedar menghala ke arah rasuah..insyaAllah harap-harapnya tiada. Semoga kita dan seluruh ahli keluarga kita terpelihara dan dijauhi dari perbuatan rasuah ni..amin!

Renung-renungkanlah..

Friday, October 3, 2014

BERKORBAN BERKONGSI KEMAKMURAN TANGANI KEFAKIRAN

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat yang mulia..alhamdulillah hari ni saya masih berpeluang untuk berkongsi khutbah Jumaat dari tempat saya. Semoga kita sama-sama beroleh keberkatan dalam kehidupan..biiznillah. Jom kita teruskan dengan khutbahnya :)

*******
Diriwayatkan bahawa setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW mendapati penduduk Madinah
merayakan dua hari kebesaran iaitu hari Nairuz dan Mahrajan. Lalu Rasulullah bertanya kepada penduduk Madinah tentang perayaan berkenaan. Maka mereka menjawab bahawa perayaan itu adalah perayaan yang disambut sejak datuk nenek mereka lagi.

Lantas Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah menukarkan kepada kamu dua hari tersebut kepada hari yang lebih baik untuk dirayakan iaitu Aidiladha dan Aidilfitri." (HR Abu Daud, Al- Nasa'ei dan Ahmad.

Sehubungan dengan sabda Rasulullah SAW tersebut, marilah kita merafakkan tahmid dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana akan sekali lagi menyambut dan meraikan Aidil Adha atau hari raya korban menjelang 10 Zulhijah 1435H bersamaan dengan 5 Oktober 2014M ini.

Dan sepertimana lazimnya, ia nanti akan kita serikan dengan ucapan takbir, solat sunat Aidil Adha, ibadah korban, pengagihan daging korban dan sebagainya. Inilah antara khususiat/keistimewaan Aidil Adha berbanding Aidil Fitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang
banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).” (S. al-Kauthar: 1-3).

Dari segi bahasa, korban bererti dekat. Manakala dari segi istilah syarak, korban membawa maksud
menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepada- Nya.

Dengan hal yang demikian, menyembelih haiwan korban seperti lembu, kambing dan unta selesai
menunaikan solat Aidil Adha pada pagi 10 Zulhijah sehingga 13 Zulhijah bertujuan mentaati perintah Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya sangatlah dianjurkan oleh Islam.

Ia sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari
Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu perelokkanlah korbanmu." (HR At-Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim).

Justeru, umat Islam yang berhasrat melaksanakan ibadah korban hendaklah memastikan binatang yang hendak dijadikan korban adalah yang terbaik, dalam erti kata sihat, besar, gemuk serta cukup sifatnya (yakni tidak cacat). Korban seekor kambing hanya untuk seorang, manakala seekor lembu atau unta boleh dikongsi tujuh orang.

Memandangkan penyembelihan korban matlamatnya adalah untuk menyahut perintah Allah SWT sekali gus mendekatkan diri kepada-Nya, maka pelaksanaannya mestilah disertai dengan keikhlasan niat, keimanan serta ketakwaan kepada Allah SWT.

Dalam erti kata lain, keredaan Allah SWT tidak akan dapat dicapai hanya dengan menyembelih korban dan membahagikannya, tetapi ia akan hanya dapat dicapai melalui niat dan amal yang ikhlas kerana ketakwaan kepada Allah semata-mata. Ini bertepatan dengan penegasan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu…” 
(S. Al-Hajj: 37).

Jumhur ulama berpendapat bahawa menyembelih korban adalah sunat muakkad bagi umat Islam dan
makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan. Ini kerana kepatuhan kepada Allah SWT
merupakan nilai Islam yang tertinggi. Maka Rasulullah SAW memberi amaran kepada orang yang
berkemampuan tetapi enggan berkorban supaya tidak mendekati tempat solat orang Islam.

Ini sebagaimana Hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah telah bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memiliki kemampuan (dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah ) dan tidak menyembelih, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (HR Ibn Majah).

Dan sesungguhnya, anjuran menyembelih korban merupakan satu kerangka mmemperingati kisah
pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam melaksanakan hukum Allah SWT yang mana Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail seperti yang terakam di dalam al- Quran yang bermaksud:

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringin mukanya di atas tompok tanah, serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang kau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.” (S. Ash- Shaaffat: 103-107).

Berdasarkan kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS tersebut, kita beroleh
pengajaran bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad berupa solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban. Justeru, iktibar serta pengajaran mulia ini diharap dapat memupuk semangat sanggup berkorban apa sahaja di kalangan umat Islam untuk meninggikan agama serta menghilangkan rasa terlalu sayang pada harta kesenangan dunia demi memperoleh redha Allah SWT semata-mata. Ini kerana, hakikat korban di sini tidak terhad kepada menyembelih binatang korban sahaja, bahkan meliputi segala jenis pengorbanan yang boleh memberi faedah serta kebaikan kepada masyarakat terutama sekali golongan yang susah dan memerlukan pertolongan.

Sesungguhnya pensyariatan ibadah korban menjurus kepada perkongsian kemakmuran bagi menangani masalah kefakiran di samping memperkukuh nilai silaturahim yang luar biasa. Ia dijalinkan melalui pembahagian daging korban kepada golongan fakir miskin berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (S. Al-Hajj: 28).

Ayat ini menjelaskan bahawa, kita diperintah untuk mengagihkan dan memberi makan kepada fakir miskin. Ia boleh dikategorikan sebagai satu pengorbanan berkongsi kemakmuran bagi memenuhi maslahah ummah. Maslahah bermaksud kepentingan, kebajikan atau apa-apa yang mendatangkan faedah kepada masyarakat.

Selain itu, ibadah korban bukan sahaja bertujuan menangani masalah kefakiran dalam masyarakat dan mengeratkan ukhuwah Islamiah, akan tetapi ibadah korban itu sebenarnya merupakan salah satu
mekanisme atau cara bagi umat Islam menzahirkan kesyukuran terhadap segala nikmat yang diperolehi daripada Allah SWT. Semakin kita bersyukur, pasti Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat-Nya kepada kita sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras." (S. Ibrahim: 7).

Jelas di sini, kepentingan antara pengorbanan dengan kesyukuran apabila Allah SWT menjanjikan
tambahan nikmat sekiranya kita bersyukur. Sekiranya kita bersyukur dengan menterjemahkannya dalam bentuk pengorbanan berkongsi kemakmuran dengan orang yang fakir dan miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan penyembelihan korban, semakin banyak kenikmatan yang bakal kita perolehi. Maka, berlumba-lumbalah melakukan amal kebajikan mengeluarkan zakat, sedekah dan korban.

Ingatlah bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kita nafkahkan sebahagian dari harta yang kita sukai dan sayangi. Dan apa jua yang kita belanjakan untuk berkongsi kemakmuran dengan masyarakat pasti akan diketahui oleh Allah SWT. Kerana itu, kikislah sifat sifat tamak, kedekut dan bakhil dalam diri agar cenderung menginfakkan harta pada perkara-perkara yang diredai Allah SWT supaya tergolong sebagai orang yang berjaya.

“…Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh
tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (S. Al-Hasyr: 9).

**********
Akhir kata dari saya, selamat menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba..semoga ibadah kita diberkati dan niat kita sentiasa mendapat keberkatan dari-Nya..insyaAllah.


Tuesday, September 30, 2014

KERETAKU JADI SASARAN KAKI JUDI!

Bismillahirrahmanirrahim...

Kejadian ni berlaku masa hari sabtu yang lalu..masa walimah sepupu kat kampung saya. Malam tu saya dan abang ke rumah pengantin lepas isyak lebih kurang, tengok-tengok dah penuh parking kat sepanjang tepi jalan tu. Alhamdulillah ada rezeki kami bila dekat dengan simpang rumah tu ada 1 ruang kosong dan muat untuk parking. Laju-laju abang parking je kat situ.

Mula tu rasa dah ok dah abang parking kat tepi jalan..lepas tu abang ketepikan lagi, katanya takut digesel kereta lain. Kami kan dah ada pengalaman gores dan lari macam tu je..jadi tak nak lah pisang berbuah 2 kali, haha. Lepas dah parking tu, saya dah nampak kereta tu macam senget je tapi abang kata ok je..tak akan jatuh punya. Dah abang cakap macam tu, kira senang hatilah kan.

Lebih kurang jam 9 lebih macam tu, saya pun ajak lah abang balik..saya tunggu je kat simpang, abang sorang je pergi ambil kereta. Elok abang dah start enjin dan nak jalan, tiba-tiba kereta tu tergelincir masuk ke dalam parit tepi jalan tu. Saya terkejut dan takut jadinya..tayar kereta dua-dua dah masuk dalam parit tu. Abang try guna gear four wheel pun dah tak boleh.

Nasib baik ada budak-budak muda tak jauh dari situ..diorang lah yang tolong panggil orang lain ramai-ramai kat tempat walimah tu. Sekejap je tempat parking kami jadi tumpuan ramai orang..semua orang lari meninggalkan majlis semata-mata nak tengok kejadian yang berlaku tu, prihatinkan..haha.

Adalah dekat sejam macam tu, akhirnya kereta kami dapat ditarik keluar menggunakan lori 3 tan..fuhh, syukur yang amat sangat yang Allah. Cuma ada yang tak bestnya di sebalik kejadian yang berlaku tu.

Tak dinafikan semua orang prihatin dan datang beramai-ramai tolong kami malam tu..tapi boleh dikatakan 50% darinya datang dengan niat nak tengok nombor kereta kami semata-mata. Kiri kanan depan belakang yang lalu lalang dekat saya semua duk ulang-ulang nombor kereta tu..konon esok pagi nak beli nombor ekor guna nombor flat kami tu..sakit hati pun ada rasanya saat tu. Ada yang siap ambil gambar lagi supaya tak lupa nombor kereta tu..adakah patut??



Saya hanya diam memandang si penghafal nombor dan penangkap gambar sekalian tu dengan pandangan sakit hati dan benci kot malam tu..orang dah dalam kesusahan saat tu, diorang pula ambil kesempatan. Sibuk dengan kepercayaan karut dan syirik masing-masing.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Judi tu hukumnya haram..apatah lagi tilik nombor, itu juga termasuk dalam golongan judi. Kepercayaan bahawa nombor flat kereta yang terlibat dalam kemalangan tu boleh membawa kemenangan dalam berjudi adalah syirik dan khurafat..Semoga kita semua mengambil pengajaran dari kisah saya yang sedikit beremosi di atas itu ye..hehe.

Renung-renungkanlah.. :)

Friday, September 26, 2014

RAIH KEBAHAGIAAN DUNIA AKHIRAT DENGAN AMAL SOLEH

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah Jumaat penghulu segala hari tiba lagi..yeah! Hari ni saya bawakan lagi khas buat semua khutbah jumaat dari tempat saya yang disediakan oleh JHEAINS. Jika ada ilmu dan pengetahuan lebih, kena sampaikan pada orang lain..lebih lagi jika ada kesempatan nak baca atau dengar khutbah, mesti kongsi dengan orang yang tak punya kesempatan camtu..

Khutbah hari ni berkaitan dengan bulan Zulhijah, tajuknya yang kat atas tu lah..bulan ni merupakan bulan yang besar fadilat dan maknanya bagi seluruh umat Islam, sebabnya pada bulan ni Allah anugerahkan masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan iaitu sepuluh hari terawal bulan zulhijah, Hari Arafah, Aidiladha dan Hari Tasyriq.

Kita teruskan huraiannya dalam isi khutbah ye.. :)

********
Menyentuh keistimewaan sepuluh hari terawal bulan Zulhijah, Ibnu Abbas ada menceritakan bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah.

Sahabat bertanya, "Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?".
Jawab Baginda, "Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun". (HR Bukhari).

Dalam Hadith lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah.
Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid". (HR Ahmad).

Sabda Rasulullah SAW ini menunjukkan betapa umat Islam digalakkan supaya berlumba-lumba melakukan amal-amal soleh pada 10 hari terawal bulan Zulhijah. Meskipun barangkali tidak mampu untuk berjihad, namun ia bukanlah halangan untuk melakukan ibadah yang lain seperti puasa, solat sunat, zikir, tahlil, takbir dan tahmid. Sebab, amal yang sedikit dan mudah itu juga besar nilainya di sisi Allah SWT dan diterima-Nya jika dilaksanakan dengan niat yang ikhlas, baik dan sempurna.

Sesungguhnya ada satu hari yang dinilai sebagai hari istimewa di sisi Allah SWT dalam 10 hari pertama bulan Zulhijah ini. Hari yang dimaksudkan itu ialah hari ke-9 Zulhijah yang dikenali sebagai Hari Arafah. Hari Arafah adalah saat dan ketika mana para jemaah haji sedang berhimpun berwukuf di Padang Arafah bagi menyempurnakan satu daripada rukun fardu haji.

Dan keistimewaan serta fadilat Hari Arafah tidak hanya dinikmati dan dirasakan oleh para jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malahan fadilatnya turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji. Ia boleh diraih dengan berpuasa sunat pada Hari Arafah yang ganjarannya adalah keampunan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Ganjaran ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya". (HR Muslim).

Oleh hal yang demikian, jangan lepaskan peluang serta kesempatan bersua
dengan 9 Zulhijah dengan meraikannya dengan puasa sunat. Maka puasa yang dikerjakan itu dengan
bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menginsafi dosa yang telah dilakukan, seterusnya
memohon keampunan dari Allah SWT. Pasti akan meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Memasuki bulan Zulhijah juga bererti kita sudah berada di ambang penghujung tahun Hijrah. Ia secara tidak langsung mengisyaratkan bahawa hampir genap setahun Allah SWT menambah umur kita. Dan sesungguhnya ini merupakan sebahagian daripada ketentuan dan takdir Allah SWT yang seharusnya menginsafkan kita terhadap hakikat bahawa usia kita semakin meningkat dan kian menghampiri noktah kehidupan di dunia ini.

Justeru, baki hayat yang masih tersisa ini seharusnya dimanfaatkan oleh setiap Muslim untuk
bermuhasabah diri sebelum dihisab pada hari akhirat. Untuk ini, umat Islam mestilah bijak merebut segala kesempatan yang ada sebelum datang kesempitan waktu bagi melipat ganda amal sebagai pelaburan mencapai kejayaan hakiki di dunia dan memperolehi kebahagiaan abadi di akhirat. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah.” (HR Al-Hakim dan Al-Baihaqi).

Sebagai analoginya, masa muda dan lapang adalah saat tubuh badan masih kuat dan fikiran masih cerdas. Maka ia adalah peluang serta kesempatan yang terbaik untuk melaksanakan ibadah dan menuntut ilmu bagi mencapai kejayaan di dunia dan mencapai kebahagiaan di akhirat. Tetapi apabila sudah tua, lazimnya pergerakan semakin perlahan dan keupayaan minda untuk mencerap ilmu pun semakin lemah. Dengan kata lain, masa muda, keadaan sihat, kelapangan dan kekayaan bukanlah digunakan untuk berseronok atau hanya berhibur seperti mana yang banyak berlaku hari ini. Sebaliknya, kesihatan, masa muda, kelapangan dan kekayaan hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT serta berjihad pada jalan yang diredai-Nya agar beroleh keampunan dan balasan syurga. Hal ini sejajar dengan apa yang disarankan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab siksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu), Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga 'adn. Itulah kemenangan yang besar.” (S. As-Saff: 10-12).

Berdasarkan kepada firman Allah SWT ini, kita beroleh pengajaran bahawa dunia ini adalah umpama
kebun tempat kita bercucuk tanam yang baik buruk hasilnya akan kita tuai di akhirat kelak. Dan pastinya, laba atau keuntungan yang bakal diperolehi di hari pembalasan nanti banyak bergantung kepada tahap keimanan kita, amal ibadah kita, budaya kerja kita, fokus serta kesungguhan kita dalam melaksanakan segala tuntutan agama. Maka, biarlah bersakit-sakit dahulu melaksanakan titah perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya sewaktu hidup di dunia ini kerana berkat keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran kita dalam mengharungi segala cabaran berkenaan bakal diganjari dengan kesenangan dan kemenangan di hari kemudian.

Menurut sebuah riwayat, malaikat maut telah datang bertemu Nabi Yaakub AS.
 Maka Nabi Yaakub AS bertanya: Wahai malaikat maut apakah kamu datang kepadaku kerana ingin mencabut nyawa ataumenziarahiku?
Jawab malaikat maut: Untuk menziarahimu sahaja.
Lantas Nabi Yaakub AS berkata: Aku ada satu permintaan darimu.
Tanya malaikat maut: Apa permintaanmu?
Jawab Nabi Yaakub AS: Jika kamu datang untuk mencabut nyawaku maka hantarkanlah dahulu utusan untuk memaklumkanku terlebih dahulu.
Kata malaikat maut: Ya!.
Kemudian malaikat maut pun berlalu pergi.

Setelah beberapa tahun kemudian, malaikat maut datang kembali kepada Nabi Yaakub AS. Lalu Nabi Yaakub AS bertanya: Kamu datang untuk menziarahi atau mencabut nyawaku?
Jawab malaikat maut: Aku datang untuk mencabut nyawamu.
Maka berkata Nabi Yaakub AS: Bukankah aku telah katakan jika kamu ingin mencabut nyawaku hantarkan dahulu seorang utusan supaya dapat aku bersedia menambah ketaatan dan amal kebaikan. Jawab malaikat maut: Aku telah lakukannya.
Kata Nabi Yaakub AS: Tiadapun utusan yang sampai kepadaku.
Jawab malaikat maut: Sesungguhnya aku telah mengutuskan dua utusan iaitu uban di kepalamu dan
belakangmu yang bongkok). 

Dari petikan dialog Nabi Yaakub AS dengan malaikat maut tersebut, dapat kita ambil pengajaran bahawa uban atau rambut yang banyak di kepala dan keadaan badan yang bongkok adalah antara tanda-tanda hampirnya ajal seseorang. Walaupun pada hakikatnya ajal tidak mengenal usia dan keadaan fizikal seseorang, namun hendaklah kita semua beringat bahawa apabila rambut sudah mulai beruban dan banyak yang gugur, kulit semakin berkedut, mata mulai kabur dan belakang mulai membongkok, bersegeralah insaf bahawa diri sudah tua dan hanya menunggu giliran untuk dijemput malaikat maut.

Jadi, jangan lengah-lengahkan bertaubat memohon keampunan kepada Allah SWT dengan menyesali
segala dosa yang dilakukan dan berusaha sedaya upaya tidak mengulangi segala kesalahan mahupun
kesilapan yang lalu. Iringilah taubat dengan menghiasi dan menyerikan kehidupan di dunia ini yang masih tersisa dengan amal-amal soleh agar menjadi sebaik-baik makhluk. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh akan masuk syurga sebagaimana dijanjikan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia
beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurang
balasannya) sedikitpun.” (S. An-Nisaa': 124).

********
Semoga kita mendapat manfaat dan ilmu yang berguna sebagai panduan melalui isi khutbah itu tadi :) Semoga Allah beri saya lagi ruang dan kesempatan untuk terus berkongsi ilmu sebegini pada masa akan datang..insyaAllah :)

p/s: Hari ni hari Jumaat..jangan abaikan perkara-perkara sunat dilakukan pada hari ni ye.. tadaaa.